Home Buletin Semasa BAKI 880 CALON SIMPANAN GURU AKAN DITAWARKAN PELANTIKAN SEBELUM 14 DISEMBER

BAKI 880 CALON SIMPANAN GURU AKAN DITAWARKAN PELANTIKAN SEBELUM 14 DISEMBER

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Seramai 880 calon simpanan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) bagi pengambilan 2025 akan ditawarkan pelantikan sebelum tempoh sah simpanan mereka berakhir pada 14 Disember 2026.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan media memaklumkan keputusan itu dicapai hasil perbincangan bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) bagi menyelesaikan isu membabitkan calon simpanan yang sebelum ini meluahkan kebimbangan mengenai status pelantikan mereka.

“Daripada keseluruhan 4,417 calon simpanan bagi pengambilan berkenaan, seramai 3,537 calon telah menerima tawaran surat pelantikan setakat ini.

“Sehubungan itu, KPM dan SPP bersetuju supaya baki 880 calon simpanan turut ditawarkan pelantikan sebelum tarikh tamat tempoh berkenaan.

“Selepas proses pelantikan selesai, KPM akan melaksanakan penempatan berdasarkan kekosongan jawatan serta kesesuaian opsyen masing-masing,” menurut KPM.

KPM berkata, keputusan itu mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan bakat dan minat individu yang ingin berkhidmat dalam bidang pendidikan dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi mendidik generasi akan datang.

Dalam pada itu, kementerian merakamkan penghargaan atas keprihatinan semua pihak yang mengambil berat mengenai isu pelantikan calon simpanan PPP berkenaan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here