Home Hiburan ZARIF GHAZZI NAFI DAKWAAN SALAH LAKU, BUAT LAPORAN POLIS

ZARIF GHAZZI NAFI DAKWAAN SALAH LAKU, BUAT LAPORAN POLIS

KUALA LUMPUR: Terpalit dengan dakwaan salah laku di set penggambaran yang kini hangat dibahaskan di media sosial, pelakon, Zarif Ghazzi, 22, tampil membuat laporan polis dengan disusuli tindakan undang-undang.

Menerusi hantaran dimuatnaik di Instagram (IG), pengurus Zarif dikenali Faiz Aizat memaklumkan pihak pengurusan memandang serius isu terbabit dan dakwaan yang diperkatakan terhadap artis di bawah kendaliannya.

Memetik laporan harian Metro, menurutnya, pelakon drama Dua Nyawa berkenaan menafikan sebarang salah laku di set penggambaran seperti didakwa kerana sentiasa mengamalkan sikap profesionalisme.

“Untuk makluman, Zarif Ghazzi dengan tegas menafikan sebarang dakwaan salah laku yang dikaitkan atau yang mungkin ditafsirkan sebagai merujuk kepada dirinya, sama ada secara langsung, tidak langsung mahupun melalui sebarang bentuk innuendo.

“Zarif Ghazzi sentiasa berpegang kepada konsep profesionalisme, integriti dan sentiasa hormat dalam setiap urusan beliau sepanjang penglibatan dalam industri seni hiburan.

“Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat dan wakil peguam telah dilantik bagi mendapatkan nasihat serta meneliti tindakan perundangan yang bersesuaian,” tulis kenyataan rasmi dikongsikan pada hantaran IG Faiz Aizat, hari ini.

Pada kenyataan itu, pengurusan Zarif turut menyeru semua pihak termasuk pengamal media dan masyarakat agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau membuat spekulasi berhubung isu berkenaan.

“Kami menyeru semua pihak termasuk media dan masyarakat agar tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan atau membuat spekulasi yang boleh menjejaskan reputasi, maruah dan hak mana-mana individu yang terlibat.

“Buat masa ini, kami menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa dan saluran perundangan yang sewajarnya. Sehubungan itu, pihak kami tidak akan mengulas lanjut mengenai perkara yang masih dalam penelitian.

“Kami menghargai perhatian dan sokongan semua pihak serta berharap agar proses sewajarnya diberikan ruang untuk berjalan secara adil dan profesional,” kata kenyataan itu lagi.

Terdahulu, nama Zarif terkait dengan dakwaan pelakon, Puteri Balqis Azizi, 19, yang meluahkan rasa kurang senang terhadap sikap seorang pelakon lelaki yang didakwa sengaja bergesel ketika melakonkan babak bersama.

Puteri Balqis atau Aqish kemudian mengambil inisiatif bertemu pengarah bagi meminta supaya babak bersentuhan dikurangkan selepas mendakwa pelakon berkenaan berulang kali cuba mengambil kesempatan terhadapnya.

Tidak hanya itu, Puteri Balqis juga mengakui dia kurang senang apabila mendakwa sering menerima gangguan serta amaran daripada segelintir peminat fanatik pelakon lelaki yang pernah bergandingan dengannya.

Bagaimanapun, Puteri Balqis muncul membuat permohonan maaf secara terbuka atas kelantangannya bersuara menggunakan kata-kata kesat dalam beberapa hantaran media sosial, baru-baru ini yang mendapat kritikan warga maya. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here