Oleh: Wartawan IMedikel TV
KOTA TINGGI: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan turun padang ke Sarawak bagi memberi penjelasan berhubung pelaksanaan serta penangguhan beberapa projek pembangunan di negeri itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kehadiran kementerian itu bukan bertujuan untuk berkempen.
Sebaliknya tindakan itu katanya, bagi memastikan maklumat berkaitan dasar dan pelaksanaan projek pembangunan dapat disampaikan kepada kumpulan sasaran.
“Sebagai parti kita tidak akan terbabit secara langsung dalam kempen PRN, tetapi KKDW mempunyai tanggungjawab untuk memastikan pembangunan dilaksanakan di kesemua 82 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sarawak.
“KKDW ini mempunyai agensi-agensi untuk kumpulan sasaran tertentu, adalah lebih baik jika kita berada di sana untuk membantu memperjelaskan bukan sahaja soal-soal dasar kepada kepentingan untuk pemegang taruh, tetapi tentang pelaksanaan.
“Terdapat beberapa penangguhan projek di negeri Sarawak yang perlu dijelaskan oleh pihak KKDW, kerana ia tidak boleh dijelaskan oleh pihak kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Penyelarasan antara Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersama Exco-Exco Luar Bandar (MEXCLUB) Ke-62 Bilangan 2 Tahun 2026 di Desaru Coast Conference Centre (DCCC), di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata antara projek yang memerlukan penjelasan ialah pembinaan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang sudah lama diluluskan, namun masih belum dilaksanakan.
Katanya, penjelasan berkaitan aspek teknikal dan status pelaksanaan projek berkenaan perlu diberikan oleh KKDW kerana perkara itu berada di bawah bidang kuasa kementerian berkenaan.
“Sebagai contoh, pembinaan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang telah diluluskan sekian lama tetapi masih belum dilaksanakan tidak wajar dibiarkan untuk dijelaskan oleh Kerajaan Negeri atau calon yang bertanding.
“Kerajaan Negeri tidak boleh menjelaskan kerana projek itu projek kami. Begitu juga projek-projek yang telah siap yang boleh diserahkan.
“Jadi saya tahu ianya akan jadi permasalahan jika ianya dilakukan oleh pihak calon atau Kerajaan Negeri, tetapi boleh dilakukan oleh kami sebagai agensi pusat,” katanya.
IMedikel TV






