Home Buletin Semasa JPPM SIASAT AKTIVITI DIKAITKAN DE NORSEMEN KCLUB INTERNATIONAL, TIADA REKOD PENDAFTARAN

JPPM SIASAT AKTIVITI DIKAITKAN DE NORSEMEN KCLUB INTERNATIONAL, TIADA REKOD PENDAFTARAN

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) sedang menjalankan siasatan berhubung aktiviti yang dikaitkan dengan kumpulan De Norsemen Kclub International susulan dakwaan dan persoalan mengenai status pendaftaran kumpulan berkenaan yang tular di media sosial.

JPPM dalam kenyataan media memaklumkan, siasatan itu dibuat susulan hantaran di platform Threads yang mempersoalkan sama ada kumpulan terbabit berdaftar secara sah di bawah jabatan berkenaan.

“Hasil semakan rekod JPPM mendapati tiada pertubuhan berdaftar menggunakan nama De Norsemen Kclub International,” menurut JPPM.

Sehubungan itu, JPPM akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitan bagi memastikan perkara berkenaan disiasat secara menyeluruh.

Jabatan itu turut menegaskan tindakan tegas akan diambil sekiranya hasil siasatan mendapati terdapat sebarang pelanggaran undang-undang, tertakluk kepada peruntukan yang berkuat kuasa.

Dalam pada itu, JPPM mengingatkan bahawa setiap aktiviti pertubuhan perlu mematuhi undang-undang negara.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya merujuk sumber rasmi bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih, sekali gus mengelakkan penyebaran maklumat yang tidak disahkan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here