Oleh: Wartawan IMedikel TV
PENANG: Seorang bayi perempuan berusia lapan bulan yang menetap di Pendang, Kedah kini bertarung nyawa apabila terpaksa bergantung kepada alat bantuan oksigen sejak sebulan lalu selepas disahkan menghidap penyakit jantung berlubang yang memerlukan pembedahan segera bernilai RM90,000.
Nur Sofia Zahirah Mohamad Alamin disahkan mengalami kecacatan septum ventrikel (VSD), iaitu lubang berukuran satu sentimeter pada dinding pemisah antara dua ruang bawah jantung, menyebabkan ibu bapanya kini merayu bantuan orang ramai bagi membolehkan pembedahan menyelamatkan nyawa anak bongsu mereka itu dapat dilakukan secepat mungkin.
Bapanya, Mohamad Alamin Abdullah, 52, berkata Nur Sofia Zahirah dilahirkan secara pramatang pada usia kandungan 34 minggu dengan berat hanya 1.9 kilogram (kg).

Menurutnya, bayi itu pada mulanya berada dalam keadaan sihat dan dibenarkan pulang selepas seminggu dirawat di hospital, namun kesihatannya mula merosot ketika berusia tujuh bulan apabila mengalami sesak nafas serta demam.
“Anak saya dimasukkan ke hospital akibat jangkitan influenza sebelum doktor mengesan bunyi tidak normal pada jantungnya.
“Pemeriksaan lanjut kemudian mengesahkan dia mengalami VSD dengan lubang berukuran satu sentimeter dan perlu menjalani pembedahan segera,” katanya.
Mohd Alamin berkata, keadaan Nur Sofia Zahirah kini kritikal sehingga memerlukan bantuan oksigen sepanjang menerima rawatan di hospital.
“Semuanya berlaku secara tidak dijangka. Kos pembedahan sebanyak RM90,000 benar-benar di luar kemampuan kami yang saya hanya berharap ada insan yang sudi membantu supaya anak kami dapat menjalani pembedahan secepat mungkin,” katanya yang tampil memohon bantuan daripada Pertubuhan One Hope Charity and Welfare di Padang Lalang, Bukit Mertajam,di sini, baru-baru ini.
Mohamad Alamin berkata, dia dan isterinya, Noorasmanizam Mohtar, 46, turut melalui pengalaman luar biasa apabila hanya mengetahui isterinya hamil ketika usia kandungan sudah mencecah tujuh bulan.

Katanya, isterinya tidak menyedari kehamilan itu berikutan mengalami masalah kitaran haid yang tidak teratur selain tidak mengalami alahan atau muntah-muntah seperti kebanyakan wanita hamil.
“Isteri hanya mendapatkan pemeriksaan di klinik selepas berasa tidak sihat dan pada mulanya dimaklumkan mengalami masalah angin sebelum kami menyedari perutnya semakin membesar yang ketika itu barulah kami mengetahui dia sebenarnya sedang hamil,” katanya.
Menurutnya, selain Nur Sofia Zahirah, isteri dan anak sulung mereka yang kini berusia sembilan tahun turut mempunyai sejarah penyakit jantung berlubang sejak kecil, namun kedua-duanya kini berada dalam keadaan stabil dan masih menjalani pemeriksaan susulan secara berkala di hospital.
Sementara itu, Pengerusi One Hope Charity and Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, pihaknya melancarkan kutipan dana RM90,000 selepas menerima permohonan bantuan daripada keluarga bayi berkenaan.
Katanya, Mohamad Alamin bekerja sebagai pesawah dan melakukan kerja kampung, manakala isterinya pula suri rumah, menyebabkan mereka tidak mampu menanggung kos pembedahan yang tinggi.
“Selain menanggung kos rawatan Nur Sofia Zahirah, pasangan ini juga perlu membawa isteri dan anak sulung menjalani pemeriksaan susulan secara berkala kerana kedua-duanya mempunyai sejarah penyakit jantung.
“Selepas meneliti permohonan yang dikemukakan, kami memutuskan untuk melancarkan kutipan dana bagi membantu membiayai kos pembedahan bayi ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Orang ramai yang berhasrat menghulurkan derma kepada Nur Sofia Zahirah, boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama ONE HOPE CHARITY & WELAFARE (nombor akaun: 3201428817) atau dengan melayari laman web onehopecharity.org.
Untuk pertanyaan lanjut, boleh menghubungi talian hotline di 04-539 9212, 016-4192 192, 019-2322 192 atau 018-911 4192.
IMedikel TV






