Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
MUADZAM SHAH: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan FAMA) Pahang mengadakan perjanjian Forward Agreement dengan syarikat Firstclass Agrotech Sdn Bhd yang terbabit mengusahakan projek tanaman jagung manis varieti Asia Manis 932, King Raja 9001 dan JSC1328 Jumbo.
Menerusi perjanjian berkenaan Pusat Operasi FAMA Kuantan terbabit membuat pembelian pertama komoditi jagung manis sebanyak 25,000 tongkol menerusi Program Belian Hasil Ladang dan Intervensi Pasaran.
Timbalan Pengarah FAMA Negeri Pahang (Sekuriti Makanan dan Operasi), Mohd Azrul Abdul Aziz, berkata bekalan jagung manis berkenaan akan dipasarkan ke Lembah Klang, Selangor melalui rangkaian pemborong strategik serta Pusat Operasi FAMA di Selangor.
Menurutnya, berdasarkan unjuran pengeluaran hasil kira-kira 442,000 tongkol jagung manis dijangka dapat dikeluarkan hingga 18 Disember depan dengan aktiviti memungut hasil dilakukan secara berperingkat.

Katanya, daripada jumlah tersebut kira-kira 310,000 tongkol dijangka untuk diagihkan melalui rangkaian Pusat Operasi FAMA bagi memperluas capaian pasaran selain memenuhi permintaan serta melancarkan proses pemasaran hasil pengeluaran.
“FAMA Pahang komited menjadi penghubung antara pengeluar dan pasaran demi memastikan kelestarian sektor agromakanan negara serta meningkatkan daya saing hasil pertanian tempatan.
“Perjanjian yang diadakan diharap dapat membantu pengeluar memasarkan produk mereka seterusnya berupaya mengelak berlaku lambakan hingga menyebabkan kerugian,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan perjanjian Forward Agreement antara FAMA Pahang dengan syarikat Firstclass Agrotech Sdn Bhd, di sini kelmarin.
FAMA diwakili Pengurus Operasi FAMA Kuantan, Mohd Faris Abdullah.

Hadir sama Pegawai FAMA Daerah Rompin, Khairol Yonan dan Ketua Unit Padanan Bekalan, Mohd Harman Anuar.
Mohd Azrul menambah, pihaknya berharap lebih ramai lagi pekebun dan pengeluar hasil pertanian di negeri ini menjadi peserta ladang kontraktor FAMA, mereka layak menerima pelbagai kemudahan yang disediakan.
“Selain layak menerima bantuan khidmat nasihat dan input pertanian, mereka juga diberi peluang memasarkan hasil pertanian dalam jumlah yang banyak terus kepada FAMA yang membeli dengan harga lantai.
“FAMA tidak memaksa sekiranya mereka tidak berminat menjual kepada kita kerana mungkin mereka sudah ada pembeli yang menawarkan harga lebih tinggi,” katanya
IMedikel TV






