Home Buletin Semasa EMPAT ANGGOTA MARITIM, DUA OKT BANGLADESH SELAMAT DALAM KEMALANGAN LORI APMM

EMPAT ANGGOTA MARITIM, DUA OKT BANGLADESH SELAMAT DALAM KEMALANGAN LORI APMM

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Empat anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) termasuk pemandu dan pengiring serta dua orang tahanan warga Bangladesh yang terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah lori agensi itu di Jalan Padang Mokkan, di sini, semalam, tidak mengalami kecederaan serius.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata, kejadian kira-kira pukul 11.35 pagi itu berlaku ketika lori berkenaan dalam perjalanan pulang ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Kelantan selepas selesai urusan pertuduhan terhadap dua Orang Kena Tahan (OKT) warga Bangladesh di Mahkamah Kota Bharu.

Menurutnya, dua OKT warga Bangladesh yang turut berada dalam lori berkenaan juga tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan telah mendapatkan rawatan pesakit luar di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM).

“Kesemua empat anggota terbabit hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar selepas kejadian berkenaan.

“Untuk makluman, kedua-dua OKT kini berada di lokap Ibu Pejabat Maritim Negeri Kelantan selepas selesai mendapatkan rawatan di HPUSM tengah hari tadi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, kemalangan kira-kira jam 11.30 pagi semalam membabitkan sebuah lori jenis Isuzu milik APMM dan dua kereta.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati lori berkenaan dipandu seorang anggota APMM lelaki berusia lingkungan 30-an bersama lima penumpang dari arah Mahkamah Tunjong menghala ke Bachok.

Katanya, ketika tiba di lokasi kejadian, pemandu lori dipercayai bergerak ke hadapan untuk memotong kenderaan lain dari sebelah kanan selepas kenderaan di hadapan memberi laluan dan bergerak ke kiri jalan.

“Bagaimanapun, sebuah kereta jenis Proton Gen 2 yang berada di hadapan tiba-tiba bergerak ke kanan dan memasuki laluan bertentangan sebelum berlaku pergeseran dengan lori berkenaan.

“Akibat kejadian itu, lori terbabit terbabas ke bahu kanan jalan lalu melanggar tiang elektrik yang kemudian tumbang dan menghempap sebuah kereta yang sedang parkir di hadapan Kedai Dobi Maming Padang Mokkan,” katanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu atau Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Sharif Mohd Ridhuan Sharif Hassan menerusi talian 09-7752315.

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here