Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Tular video segelintir Anggota Tentera Malaysia (ATM) yang mempertontonkan tubuh badan sasa mereka ketika menyertai sambutan Hari Kebangsaan ke-68 baru-baru ini.
Penampilan anggota tentera berkenaan menarik perhatian seluruh pengunjung yang turut sama meraikan Hari Kebangsaan itu.
Bagaimanapun, penampilan tersebut mencetuskan perdebatan dalam kalangan warga maya kerana disifatkan tidak bersesuaian dengan imej seorang tentera.
Menerusi satu posting di laman sosial Facebook Zulfadli Jaafar, dia berkata uniform tentera bukan sekadar pakaian tetapi adalah lambang disiplin, maruah dan amanah yang dipikul untuk mempertahankan tanah air.
“Tidak wajar jika uniform dipersembahkan dengan cara menampakkan unsur “seksi” atau menggiurkan.
“Itu adalah perarakan Kemerdekaan bukan “Cosplay”,” katanya menerusi laman sosial Facebook.
Dia yang juga seorang pesara Armed Forces Apprentice Trade School, tubuh sasa adalah satu kelebihan tetapi bukan untuk tontonan dengan gaya yang boleh mengundang tafsiran lain.
Katanya, melalui uniform juga, munculnya ketegasan, keperkasaan dan wibawa yang merupakan sifat sebenar seorang tentera.
“Saya tidak sasa dan saya tidak cemburukan badan mereka.
“Lebih sopan jika memakai baju Melayu kebangsaan lengkap daripada pakaian sedemikian,” katanya.
Zulfadli menyifaktan dirinya rasa terpanggil untuk memberi pandangan peribadi mengenai penampilan tentera berkenaan.
Justeru, dia berkata sebagaimana masyarakat menolak wanita dijadikan objek seksual, orang ramai juga tidak boleh menerima lelaki dipamerkan sebegitu rupa.
“Maruah pasukan beruniform lebih tinggi daripada itu, dan perarakan Kemerdekaan seharusnya menjadi pentas memuliakan jasa dan kredibiliti ATM, bukan sekadar tontonan fizikal.
“Ada yang akan berkata yang ini adalah “Zaman Mereka” dan “Zaman Kami” sudah tamat, tidak mengapa kerana saya hanya meluahkan bagi diri saya sendiri dan bukan mewakili mana-mana pihak atau organisasi.
“Tidak bersetuju tidak mengapa kerana saya menulis bukan untuk meminta orang bersetuju dengan saya,” katanya.
Bagaimanapun kelibat beberapa anggota ATM yang bertubuh sasa ketika menyertai perarakan Hari Kebangsaan adalah atlet bina badan ATM.
IMedikel TV






