Home Buletin Semasa SINDIKET ‘TAKOR’ GUNA HELAH PEMANDU E-HAILING TUMPAS

SINDIKET ‘TAKOR’ GUNA HELAH PEMANDU E-HAILING TUMPAS

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Taktik licik sindiket penyeludupan migran yang menyamar sebagai pemandu e-hailing terbongkar selepas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan kumpulan dikenali sebagai ‘Takor’ dalam satu operasi khas di Kajang, pada Jumaat lalu.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, dalam serbuan kira-kira jam 3.45 petang itu membabitkan pasukan dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas dengan kerjsama Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

Katanya operasi tersebut hasil risikan selama dua minggu membabitkan dua lokasi berasingan di sekitar daerah itu.

“Dalam serbuan itu pasukan penguat kuasa menahan sembilan individu termasuk pasangan suami isteri warga tempatan yang berperanan sebagai ‘transporter’ serta tujuh warga Indonesia.

“Daripada jumlah itu, tiga lelaki Indonesia dipercayai penjaga premis, dua lelaki tinggal lebih masa, manakala dua lagi lelaki dan dua wanita tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah. Kesemua mereka berusia antara 26 hingga 60 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Turut disita, empat pasport Indonesia, tujuh telefon bimbit, wang tunai RM1,455 serta sebuah kenderaan jenis Perodua Alza yang dipercayai digunakan sindiket.

Menurutnya, modus operandi sindiket adalah menyasarkan warga Indonesia yang tinggal lebih masa atau tiada dokumen untuk dihantar pulang ke negara asal menggunakan helah sebagai pemandu e-hailing. Setiap orang dikenakan bayaran antara RM1,500 hingga RM2,000.

“Kesemua tangkapan disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Akta Imigresen 1959/63,”katanya.

Dalam operasi berasingan, JIM menahan seorang wanita Bangladesh berusia 32 tahun yang mengendalikan laman sesawang palsu ‘KEY MALAYSIA’ untuk permohonan eVISA pada kadar berganda.

Beliau berkata laman itu dikesan menerima lebih 52,000 permohonan sejak 2022 dengan caj RM300 hingga RM500 setiap satu.

Katanya suspek ditahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 untuk siasatan lanjut.

Beliau menegaskan, JIM akan terus memperkukuh penguatkuasaan bagi membanteras sindiket yang memperdaya warga asing dan menjejaskan imej jabatan.

IMedikel TV



LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here