Home Buletin Semasa KKDW CADANG WUJUDKAN FAST LANE PERCEPAT 1,453 PROJEK SAMBUNGAN, SEDIA ADA

KKDW CADANG WUJUDKAN FAST LANE PERCEPAT 1,453 PROJEK SAMBUNGAN, SEDIA ADA

Oleh: Wartawan IMedikel TV

KOTA TINGGI: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bercadang mewujudkan pendekatan ‘fast lane’ bagi mempercepat pelaksanaan 1,453 projek pembangunan luar bandar, khususnya projek sambungan dan sedia ada.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu antara keutamaan kementerian pada tahun depan bagi mengatasi kelewatan pelaksanaan projek, terutama yang berpunca daripada isu pengambilan tanah.

Beliau berkata, daripada siling pembangunan KKDW berjumlah RM7.83 bilion, sebanyak RM7.41 bilion atau hampir 95 peratus diperuntukkan bagi 1,463 projek sambungan, Manakala baki RM424.2 juta diperuntukkan untuk pelaksanaan 182 projek baharu.

“Sabah dan Sarawak turut merangkumi kira-kira satu pertiga daripada keseluruhan siling pembangunan KKDW bagi 2027.

“Jika tidak, akan berlaku penangguhan projek-projek yang berkenaan. Masalah tanah ini kerap kali berpanjangan selama tiga empat tahun.

“Walaupun projek itu diluluskan pada tahun semasa tetapi pelaksanaannya hanya dapat dibuat tiga atau empat tahun kemudian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan antara Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah bersama Exco-Exco Luar Bandar (MEXCLUB) Ke-62 Bil. 2/2026 di Desaru Coast Conference Centre, di sini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan penting bagi memastikan isu tanah serta tapak projek pembangunan luar bandar dapat ditangani secara lebih terancang dan sistematik.

Sehubungan itu, selaras dengan pelaksanaan Operasi Sifar Tertangguh, Exco Luar Bandar dan pejabat KKDW negeri diminta menyemak semula projek yang masih berdepan kekangan berkaitan tanah, kelulusan teknikal serta kemudahan utiliti.

“Langkah penyelarasan itu diharap dapat mengurangkan kelewatan dan memastikan projek pembangunan luar bandar dapat dilaksanakan mengikut perancangan.

“Sebagai tindakan susulan MEXCLUB, KKDW akan mengemukakan beberapa resolusi utama untuk pertimbangan Jemaah Menteri menerusi Memorandum Jemaah Menteri.

“Antaranya merangkumi penambahbaikan pengurusan sisa pepejal di kawasan luar bandar dan perluasan akses masyarakat Orang Asli yang berkemampuan kepada skim perumahan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), khususnya bagi pemohon tanpa geran hak milik individu.

“Selain itu, penyelarasan antara kementerian dan agensi bagi memperkukuh sokongan kepada usahawan desa dan cadangan pengisian kekosongan jawatan Pendidik Masyarakat di TABIKA dan TASKA KEMAS,”katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here