Home Sukan PEARLY-THINAAH TETAP BANGGA AKSI FINAL DI PARIS

PEARLY-THINAAH TETAP BANGGA AKSI FINAL DI PARIS

215
0

KUALA LUMPUR: Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah enggan membiarkan kekecewaan di pentas final Kejohanan Dunia, malam tadi terus menghimpit mereka, sebaliknya menganggap pengalaman di Paris itu sebagai cukup berharga untuk bangkit lebih kuat.

Memetik laporan Berita Harian pasangan ranking nombor dua dunia itu terpaksa akur bergelar naib juara apabila tunduk kepada gandingan nombor satu dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning dalam pertarungan epik tiga set, 14-21, 22-20, 17-21 yang berlangsung selama 83 minit di Arena Adidas.

Thinaah mengakui terkilan kerana tidak berjaya menamatkan kemarau gelaran dunia, namun tetap berbangga dengan pencapaian mara sejauh itu selain memberikan pujian kepada lawan yang lebih tenang mengawal permainan.

“Kami gembira dapat mara ke perlawanan akhir, tetapi turut rasa kecewa kerana tidak berjaya membawa pulang gelaran. Tetapi, lawan bermain dengan sangat baik, sentiasa memberi tekanan dan sangat tenang dalam setiap pukulan.

“Itu sesuatu yang boleh kami pelajari daripada mereka,” kata Thinaah kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Mengulas perlawanan itu, Pearly mengakui strategi mengubah corak servis pada set kedua kunci kebangkitan mereka selepas pada satu ketika ketinggalan 12-14 yang kemudian berjaya memaksa perlawanan ke set penentuan.

“Thinaah banyak melakukan servis kuis ke belakang dan ia benar-benar mengganggu rentak lawan. Mereka mula bermain dengan tergesa-gesa, dan kami hanya saling mengingatkan untuk bertenang. Strategi itu berhasil pada set kedua,” kata Pearly.

Permainan menjadi makin menghiburkan pada set ketiga dengan beberapa aksi merebahkan badan dilakukan pemain negara untuk menyelamatkan mata sekali gus menjadi bukti komitmen tinggi biarpun akhirnya tewas.

Mengulas lanjut, Thinaah percaya pengalaman berdepan final dunia akan menjadi tonik berguna buat mereka dalam menghadapi kejohanan besar lain.

“Banyak perkara positif yang boleh kami ambil kerana kejohanan ini antara yang terbesar selain Sukan Olimpik. Ia membantu meningkatkan keyakinan diri serta memberi motivasi untuk tampil lebih baik selepas ini,” katanya.

Kekalahan Pearly-Thinaah hadir selepas gandingan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menghadiahkan negara emas pertama dalam acara beregu campuran yang mencipta sejarah baharu buat badminton Malaysia. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here