Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Bahagian Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang bertindak tegas dengan menyita dua kenderaan milik warga asing pada Operasi Pemandu Warga Asing (PeWA) di Bentong, kelmarin.
Pemeriksaan mendapati warga asing terbabit memandu motosikal dan pacuan empat roda tanpa memiliki lesen memandu yang sah (CDL).
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang, Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman, berkata kes pertama berlaku di hadapan stesen minyak di Bentong membabitkan wanita warga Indonesia yang menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz, pemeriksaan dilakukan mendapati dia tidak memiliki lesen motosikal yang sah.
“Kes kedua berlaku di Plaza Tol Bentong melibatkan lelaki warga Myanmar yang memandu pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton 2.4L VGT tanpa memiliki lesen kenderaan yang sah.
“Kita bertindak menyita dua kenderaan terbabit dan disimpan di Depoh JPJ, Stesen Penguatkuasa (SPK) Karak untuk tindakan selanjutnya.
“Jabatan akan terus mempergiatkan penguatkuasaan terhadap pemandu warga asing bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang serta meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya,” katanya, di sini semalam.
Beliau menambah, operasi PeWA akan terus diadakan seluruh negeri ini dalam usaha mengesan warga asing yang memandu kenderaan tanpa lesen, warga asing tidak boleh sesuka hati menggunakan kenderaan tanpa lesen sah mengikut undang-undang negara ini.
Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya berkata, jabatan tidak akan berkompromi dengan pesalah jalan raya, hukuman sedia ada menunggu pihak yang melakukan kesalahan membabitkan peraturan jalan raya. Tanpa lesen memandu dan kenderaan tanpa cukai jalan antara kesalahan yang banyak dikesan.
“Jabatan tidak berniat untuk menyusahkan pemandu yang berada diatas jalan raya, nasihat saya mereka perlu mematuhi semua peraturan yang ada dalam memastikan tindakan penguatkuasaan tidak dikenakan,” katanya.
IMedikel TV






