Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
MIRI: Cubaan tiga wanita mencuri kabel milik Sarawak Energy Berhad (SEB) gagal selepas mereka ditahan polis di Jalan Miri-Pujut, berhampiran Balai Bomba Pusat Bandaraya Miri, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Farhan Lee Abdullah berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 38 hingga 40 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri dengan bantuan Polis Bantuan SEB kira-kira jam 9.05 malam, 25 September lalu.
Menurutnya, pihak SEB sebelum itu menerima isyarat penggera amaran kabel di lokasi kejadian kira-kira jam 7 malam sebelum maklumat berkenaan disalurkan kepada BSJ IPD Miri.
“Susulan itu, kerjasama antara pihak polis dan SEB membolehkan tindakan pantas diambil sehingga membawa kepada penahanan ketiga-tiga suspek ketika dipercayai cuba mencuri kabel berkenaan.
“Hasil tangkapan, polis turut merampas pelbagai barangan yang dipercayai berkaitan bagi membantu siasatan.
“Semakan rekod mendapati ketiga-tiga suspek masing-masing pernah ditangkap atas kesalahan jenayah serta kesalahan berkaitan pengambilan dadah terlarang,” katanya.
Beliau berkata ketiga-tiga suspek kini direman selama tiga hari sehingga 29 September ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan.
“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Dalam pada itu, Farhan memuji tindakan pantas pihak yang mengesan kejadian serta kerjasama dengan polis dalam usaha membanteras kegiatan jenayah.
Beliau turut mengalu-alukan orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang kejadian jenayah dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Miri di talian 085-432533 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
IMedikel TV






