Home Buletin Semasa LIMA LELAKI DITAHAN, KUMPULAN CURI MOTOSIKAL TUMPAS DI BACHOK

LIMA LELAKI DITAHAN, KUMPULAN CURI MOTOSIKAL TUMPAS DI BACHOK

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

BACHOK: Polis menumpaskan satu kumpulan yang dipercayai aktif mencuri motosikal di sekitar Bachok selepas menahan lima lelaki berusia antara 16 hingga 22 tahun, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, kesemua suspek ditahan antara jam 5 hingga 7 petang oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok bersama anggota Balai Polis Bachok.

“Operasi itu dilancarkan susulan beberapa kejadian kecurian motosikal di kawasan pentadbiran IPD Bachok, sebelum polis bertindak berdasarkan maklumat yang diterima.

“Dalam operasi berkenaan, polis turut merampas sebuah motosikal Honda EX5 berwarna hitam, sebuah Yamaha LC berwarna merah serta satu rangka motosikal berwarna biru.

“Turut dirampas ialah dua kunci motosikal, masing-masing berlambang Honda dan bertulisan MTT/M119, selain sebuah enjin motosikal serta kulit enjin yang nombornya dipercayai telah diganggu atau dicanai,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata hasil soal siasat awal mendapati kelima-lima suspek mengaku terbabit dalam kegiatan mencuri motosikal, khususnya motosikal jenis EX5.

“Mereka turut mendakwa mula aktif melakukan kegiatan berkenaan sejak awal September lalu di sekitar Bachok.

“Kesemua suspek direman selama empat hari bermula Jumaat lalu hingga Isnin ini bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here