Home Luar Negara BAPA DAKWA ‘SYAITAN’ PUNCA ANAK MAUT

BAPA DAKWA ‘SYAITAN’ PUNCA ANAK MAUT

BALTIMORE: Pasangan dari Maryland, Amerika Syarikat (AS) ditahan selepas anak perempuan mereka berusia dua bulan meninggal dunia akibat kecederaan kepala.

Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, si bapa mendakwa kecederaan itu berpunca daripada ‘syaitan’ menghempas pintu ke atas kanak-kanak itu.

Memetik Fox News, Oscar Pineda dan Katerin Monzon-Alvarado, kedua-duanya berusia 21 tahun, berdepan pertuduhan penderaan kanak-kanak tahap pertama dan kedua, serangan tahap pertama dan kedua serta membahayakan nyawa secara melulu berhubung kematian Aida Mikea Monzon Alvarado.

Polis Baltimore berkata, pertuduhan berkenaan membawa hukuman maksimum sehingga 55 tahun penjara, manakala kedua-duanya mungkin berdepan pertuduhan membunuh tambahan bergantung kepada keputusan laporan bedah siasat.

Difahamkan, bayi itu dibawa ke Hospital Harbor pada Rabu selepas tidak memberikan respons dengan kesan lebam teruk yang dianggap ‘mencurigakan’ di sekitar mata dan garis rahangnya. 

Pemeriksaan lanjut mendapati bayi itu mengalami trauma kepala dan otak yang ketara serta pelbagai keretakan tengkorak yang tidak dikesan ketika pemeriksaan awal.

Dalam pada itu, bapa bayi itu didakwa memberitahu polis, anak perempuannya cedera ‘disebabkan kuasa ghaib’ atau ‘syaitan menghempas pintu ke atas kanak-kanak itu’.

Ibunya pula memberitahu penyiasat bahawa anak lelakinya berusia dua tahun sering melompat di atas katil sehingga menyebabkan bayi itu terjatuh ke lantai.

Pendakwa raya berhujah, tahap kecederaan bayi itu tidak mungkin berpunca daripada satu kejadian terjatuh dari katil.

Menurut dokumen pertuduhan, doktor berkata, bayi itu mengalami pendarahan pada lobus frontal (bahagian hadapan otak) dan pendarahan subdural (ruang di antara selaput yang melindungi otak dengan permukaan otak), namun kakitangan hospital gagal menyelamatkannya sebelum dia meninggal dunia.

Kedua-dua ibu bapa itu kemudian mengaku kepada penyiasat bahawa mereka menyedari kesan lebam pada bayi berkenaan pada 6 September lalu dan bayi itu mula muntah pada hari berikutnya.

Bagaimanapun, kedua-dua suspek berkata, mereka tidak mendapatkan rawatan perubatan sehingga bayi itu tidak lagi memberikan respons pada Rabu.

Mahkamah kemudian memerintahkan kedua-duanya ditahan tanpa ikat jamin. – AGENSI, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here