Home Luar Negara JASAD 28 RAKYAT PALESTIN DITEMUI BAWAH RUNTUHAN RUMAH DIBEDIL ISRAEL 2023

JASAD 28 RAKYAT PALESTIN DITEMUI BAWAH RUNTUHAN RUMAH DIBEDIL ISRAEL 2023

BANDAR GAZA/ISTANBUL: Pertahanan Awam Gaza semalam memaklumkan bahawa pasukannya menemui jasad 28 rakyat Palestin di bawah runtuhan sebuah rumah yang dimusnahkan tentera Israel pada Oktober 2023.

Memetik laporan Anadolu menerusi Berita Harian, jasad terbabit dijumpai di kediaman keluarga Abu Naama di kejiranan Daraj, Bandar Gaza, lapor Anadolu Ajansi memetik kenyataan agensi itu.

Sumber keluarga memberitahu Anadolu bahawa rumah berkenaan telah dibedil pesawat perang Israel sebelum ini.

Pada Sabtu lalu, Pertahanan Awam memaklumkan bahawa pihaknya turut menemui jasad tujuh rakyat Palestin di dua rumah yang musnah, masing-masing milik keluarga Nuwairi di kem pelarian Nuseirat di tengah Gaza, dan keluarga Atallah di kawasan Yarmouk, Bandar Gaza.

Usaha itu adalah sebahagian daripada fasa kedua projek Pertahanan Awam untuk mengeluarkan jasad mangsa yang tertimbus di bawah bangunan musnah sepanjang perang Israel di Gaza.

Fasa itu bermula 19 Julai lalu dengan meliputi beberapa lokasi di Bandar Gaza, utara Gaza serta kem pelarian Nuseirat.

Pertahanan Awam menganggarkan kira-kira 1,072 mangsa mungkin masih tertimbus di bawah bangunan yang musnah.

Pasukan penyelamat merancang untuk menjalankan pencarian di 147 rumah di wilayah utara dan tengah Gaza dalam tempoh keseluruhan 800 jam bekerja.

Menurut Pertahanan Awam, operasi itu bagaimanapun berjalan perlahan berikutan kekurangan jentera berat yang diperlu untuk mengalihkan sisa runtuhan.

Pegawai Palestin berkata, perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa 10 Oktober 2025 turut memperuntukkan kemasukan jentera bagi membantu kerja-kerja pembersihan runtuhan dan usaha menemukan mangsa.

Dalam fasa pertama yang bermula akhir November 2025, jasad 333 mangsa berjaya ditemui.

Pada Oktober 2025, Pejabat Media Kerajaan Gaza menganggarkan kira-kira 9,500 rakyat Palestin masih hilang sejak perang bermula, termasuk mangsa dipercayai tertimbus di bawah bangunan musnah serta individu yang masih tidak diketahui keberadaan mereka.

Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut membangkitkan kesan trauma berterusan akibat penantian panjang untuk menemukan jasad mangsa. – BERNAMA-ANADOLU, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here