Home Luar Negara LIMA BERADIK BINA 430 ANAK TANGGA UNTUK IBU BERUSIA 86 TAHUN

LIMA BERADIK BINA 430 ANAK TANGGA UNTUK IBU BERUSIA 86 TAHUN

Yueqing, China: Laluan mendaki gunung yang mempunyai 430 anak tangga di timur China dibina sendiri lima beradik demi memudahkan ibu mereka berusia 86 tahun pulang ke rumah, tular di media sosial sehingga menyentuh hati jutaan orang.

Memetik Laporan Agensi menerusi Harian Metro, Laluan dengan 11 selekoh itu berliku mendaki gunung di Kampung Yannan, di sini dalam wilayah Zhejiang dan digelar pengguna internet China sebagai ‘tangga langit bakti anak’ menurut laporan Chao News.

Anak perempuan bongsu warga emas berkenaan, Huang Zhulian, 58, berkata, dia bersama empat adik-beradiknya dilahirkan dan dibesarkan di rumah keluarga mereka di puncak gunung itu sebelum membawa ibu mereka tinggal bersama di bandar berbeza selepas kematian bapa mereka beberapa dekad lalu.

Bagaimanapun, ibu kepada tiga anak lelaki dan dua anak perempuan itu tidak pernah benar-benar menyesuaikan diri dengan kehidupan di bandar.

Malah, wanita berkenaan perlu pulang ke rumah lamanya di gunung itu setiap tahun sempena Perayaan Cheng Beng untuk menziarahi serta membersihkan kubur suami dan saudara-maranya.

Laluan lama ke rumah mereka pula dipenuhi semak berduri dan sering menjadi tempat kemunculan ular sekali gus menimbulkan kebimbangan Huang dan adik-beradiknya terhadap keselamatan ibu mereka seperti yang dilaporkan South China Morning Post.

Huang kemudian mencadangkan pembinaan laluan baharu bagi memudahkan ibu mereka pulang ke rumah.

Pada awalnya, hanya seorang daripada adik-beradiknya menyokong cadangan itu, namun hasil kesungguhannya, tiga lagi saudara lelakinya akhirnya bersetuju.

Mereka memulakan projek berkenaan pada Ogos dengan menggunakan wang sendiri dan melakukan kerja pembinaan tanpa mengupah kontraktor profesional. Mereka memilih untuk meninggalkan laluan lama dan membaiki satu lagi laluan di bahagian selatan gunung yang sudah lama tidak digunakan.

Projek yang siap sepenuhnya pada Oktober itu menyaksikan Huang bertanggungjawab membeli bahan binaan dan menyelia kerja di tapak setiap hari.

Manakala tiga adik-beradik lelakinya bersama dua sepupu membantu mengangkut batu serta membancuh konkrit sementara kakaknya bersama abang ipar pula menyediakan makanan serta menjaga peralatan pembinaan.

Selain bantuan anak saudara lelaki dan perempuan yang memindahkan bahan binaan serta membersihkan sisa runtuhan batu apabila mempunyai kelapangan, mereka turut membuat sendiri anak tangga menggunakan acuan sebelum menuangkan konkrit ke dalamnya selain menyewa dron tugas berat dengan bantuan anak lelaki Huang bagi mengangkut bahan binaan ke puncak gunung.

Huang berkata, cabaran paling mendebarkan ialah ketika memasang anak tangga di tepi tebing curam sehingga dia terpaksa mengikat tali pada pinggang sebelum menambatkannya pada pokok kukuh berhampiran kawasan itu.

Menurut Huang, sepanjang projek itu dia kehilangan berat badan sebanyak tiga kilogram dan kulitnya menjadi lebih gelap akibat bekerja di bawah panas matahari.

Huang berkata, dia tidak mempedulikan pandangan orang lain yang menganggap tindakan keluarga mereka membina laluan itu sebagai sia-sia kerana usaha berkenaan adalah satu perbuatan baik memandangkan ia turut digunakan penduduk kampung, pencari herba dan pendaki gunung.

“Ketika kami kecil, ibu memegang tangan kami Ketika menuruni gunung untuk melihat dunia luar. Kini apabila ibu sudah tua, kami membina jalan ini dan tiba giliran kami pula memegang tangannya untuk membawanya pulang,” katanya.-AGENSI, HMetro Online-

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here