GAZA: Sebuah pertubuhan bantuan yang disokong Amerika Syarikat (AS) dan Israel yang mengendalikan pusat agihan bantuan di Semenanjung Gaza mengumumkan penutupan sementara kemudahan itu.
Ini susulan tentera Israel memberi amaran bahawa laluan ke pusat-pusat itu kini dianggap sebagai zon pertempuran.
Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, pengumuman oleh Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) itu dibuat susulan beberapa kes maut berhampiran tapak agihan yang dikendalikan, yang menerima kecaman daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Serangan udara Israel semalam mengorbankan sekurang-kurangnya 16 orang di Gaza, termasuk 12 individu dalam satu serangan ke atas khemah yang menempatkan penduduk dipindahkan, menurut agensi pertahanan awam wilayah itu kepada AFP.
Kelmarin 27 orang terbunuh di selatan Gaza apabila tentera Israel melepaskan tembakan berhampiran sebuah tapak bantuan GHF dan dimaklumkan bahawa insiden itu kini dalam siasatan Israel.
Sementara itu, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, mengecam serangan itu sebagai ‘tidak boleh diterima’, manakala Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia menyifatkan serangan terhadap orang awam sebagai ‘jenayah perang’ selepas kes serupa berlaku di kawasan yang sama pada Ahad lalu.
Israel baru-baru ini melonggarkan sekatan ke atas Gaza, tetapi PBB berkata, seluruh penduduk wilayah itu masih berisiko mengalami kebuluran.
Kekurangan makanan di Gaza mencetuskan gesaan baharu pada peringkat antarabangsa supaya perang dihentikan, namun perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas masih belum tercapai.
Susulan itu, Majlis Keselamatan PBB (UNSC) dijangka mengundi satu resolusi yang menggesa gencatan senjata serta akses kemanusiaan ke Gaza, namun langkah itu dijangka diveto oleh AS penyokong utama Israel.
Imej kebuluran di Gaza turut mencetuskan gelombang solidariti baharu terhadap rakyat Palestin, dan sebuah kapal yang dikendalikan oleh gabungan aktivis antarabangsa kini dalam pelayaran menuju ke Gaza untuk menghantar bantuan.
Kapal dari Gabungan Freedom Flotilla itu berlepas dari Sicily pada Ahad, membawa kira-kira sedozen penumpang termasuk aktivis alam sekitar Greta Thunberg, bersama bekalan seperti jus buah, susu, makanan dalam tin dan bar protein.
“Bersama, kita boleh membuka laluan laut rakyat ke Gaza,” kata gabungan itu.
Namun tentera Israel berkata, mereka bersedia untuk melindungi ruang maritim negara. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






