LONDON: Chelsea berjaya menewaskan saingan daripada kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk mendapatkan tandatangan penyerang England, Liam Delap dari Ipswich semalam dengan yuran perpindahan dilaporkan sekitar £30 juta (RM172 juta).
Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, Delap, 22, menjaringkan 12 gol EPL dalam musim tunggalnya di Portman Road, namun gagal menghalang Ipswich daripada tersingkir kembali ke Liga Kejuaraan selepas hanya satu musim beraksi di liga utama.
Manchester United dan Everton juga dilaporkan bersedia menebus klausa pelepasan kontrak pemain pasukan B-21 England itu.
Namun, Chelsea akhirnya berjaya mendapatkan khidmat bekas penyerang Manchester City itu, sekali gus menambah kekuatan di barisan serangan menjelang Piala Dunia Kelab di Amerika Syarikat yang bermula pertengahan bulan ini.
“Saya faham akan status kelab ini dan dapat melihat arah tuju yang positif dengan pemain dan ketua jurulatih yang ada,” kata Delap dalam kenyataan rasmi Chelsea, selepas menandatangani kontrak enam tahun.
“Ia tempat yang luar biasa untuk saya meningkat dan saya berharap dapat mencapai kejayaan hebat di sini serta membantu kelab menjulang lebih banyak trofi.”
Chelsea menamatkan musim di tangga keempat EPL dan akan kembali beraksi di Liga Juara-Juara musim depan selepas dua tahun tersisih.
Pasukan kendalian Enzo Maresca juga baru sahaja menewaskan Real Betis 4-1 pada final Liga Konferens UEFA, meraih trofi pertama di bawah pengendali dari Itali itu.
Pada pertengahan Disember, Chelsea berada hampir dengan pendahulu liga Liverpool, namun prestasi mereka merosot selepas itu.
Mereka mengakhiri musim dengan mantap, memastikan tempat dalam kelompok lima teratas pada hari terakhir liga, namun jelas bergelut dengan ketiadaan penyerang utama yang klinikal.
Penyerang antarabangsa Senegal, Nicolas Jackson hanya menjaringkan 10 gol dalam 30 penampilan EPL, manakala Christopher Nkunku dijangka meninggalkan kelab selepas dua musim yang mengecewakan.
Delap, anak bekas pemain tengah Stoke, Rory Delap, memulakan kariernya bersama Manchester City tetapi sukar untuk menembusi skuad utama kendalian Pep Guardiola.
Selepas mengharungi beberapa tempoh pinjaman bersama Stoke, Preston dan Hull di divisyen kedua, dia disambar oleh Ipswich dalam perpindahan bernilai hingga £20 juta (RM115 juta) selepas kelab itu naik divisyen ke EPL tahun lalu.
Chelsea akan menentang Flamengo, Los Angeles FC dan ES Tunis pada peringkat kumpulan Piala Dunia Kelab, yang bermula pada 14 Jun. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






