Home Buletin Semasa CUACA TAK MENENTU UNDANG RISIKO DENGGI, JKNK MINTA BERTINDAK SEGERA

CUACA TAK MENENTU UNDANG RISIKO DENGGI, JKNK MINTA BERTINDAK SEGERA

3
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

PASIR MAS: Cuaca panas dan hujan yang berlaku secara tidak menentu sejak kebelakangan ini meningkatkan risiko penularan demam denggi di Kelantan apabila banyak kawasan berpotensi menjadi lokasi pembiakan nyamuk Aedes.

Sehubungan itu, Pengarah JKNK, Datuk Dr Mohd Azman Yaacob meminta orang ramai supaya lebih peka dan mengambil langkah pencegahan awal sebelum tercetusnya wabak denggi di negeri ini.

Beliau berkata, perubahan cuaca ketika ini boleh menyebabkan air bertakung di pelbagai lokasi termasuk kawasan persekitaran rumah sekali gus menjadi ‘syurga’ pembiakan nyamuk Aedes.

“Masyarakat disaran meluangkan sekurang-kurangnya 10 minit setiap hari atau sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk membersihkan kawasan rumah masing-masing.

“Bekas plastik, bekas berwarna gelap dan kawasan yang menakung air sering menjadi tempat nyamuk bertelur dan membiak,” katanya ketika ditemui pemberita, pada Isnin.

Menurut beliau, antara lokasi yang sering diabaikan termasuk tayar lama, tempat lapik pinggan, tandas, bahagian bawah peti ais serta bekas-bekas kecil yang boleh menakung air hujan.

“Kita bimbang kawasan air bertakung ini akan mencetuskan wabak baharu jika tidak dibersihkan segera.

“Jika tayar lama tidak dibuang, ia boleh dipenuhi tanah atau pasir bagi mengelakkan air bertakung,” katanya.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan Kelantan setakat ini masih belum merekodkan kes demam denggi, namun usaha pencegahan perlu dilakukan lebih awal dengan kerjasama semua pihak.

Katanya, kesedaran masyarakat memainkan peranan penting dalam memastikan negeri ini terus bebas daripada penularan wabak denggi.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here