Home Sukan SANCHO HANYA MAMPU BERTERIMA KASIH KEPADA CHELSEA

SANCHO HANYA MAMPU BERTERIMA KASIH KEPADA CHELSEA

390
0

LONDON: Jadon Sancho akhirnya bersuara selepas perpindahan kekalnya ke Chelsea tidak menjadi kenyataan, apabila kelab London itu membayar £5 juta (RM28.7 juta) kepada Manchester United bagi membatalkan perjanjian pinjaman.

Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, pemain sayap berusia 25 tahun itu menyertai Chelsea secara pinjaman musim lalu dengan harapan menghidupkan semula kariernya selepas diketepikan di Old Trafford susulan konflik terbuka dengan bekas pengurus Erik ten Hag.

Sancho sebelum ini disisihkan selepas Ten Hag mengkritik prestasinya dalam latihan dan pemain itu membalas di media sosial dengan menyifatkan komen itu sebagai “sama sekali tidak benar”.

Dia kemudian enggan memohon maaf, menyebabkan tidak lagi diturunkan sepanjang kendalian pengurus Belanda itu.

Selepas tempoh pinjaman singkat bersama kelab lamanya, Borussia Dortmund, Sancho kembali ke Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Chelsea.

The Blues memiliki pilihan untuk mendapatkan khidmatnya secara tetap dengan bayaran £25 juta (RM143.7 juta) – jauh lebih rendah daripada nilai £73 juta (RM419.7 juta) yang dibayar oleh United pada 2021.

Namun, Chelsea memilih untuk tidak meneruskan pembelian itu sebaliknya membayar pampasan RM28.7 juta untuk menamatkan perjanjian awal.

Sepanjang musim 2024-25, Sancho mempamerkan beberapa detik cemerlang termasuk jaringan dalam final Liga Konferens menentang Real Betis, namun gagal mencapai tahap konsisten dengan hanya lima gol dan 10 umpanan gol dalam 42 penampilan bagi semua pertandingan.

Walaupun begitu, dia kekal popular dalam kalangan rakan sepasukan dan kakitangan, manakala pengurus Enzo Maresca turut memuji semangatnya, tetapi tetap memilih untuk menangguhkan sebarang keputusan mengenai masa depan pemain itu hingga tamat musim.

Sancho kini kembali ke Manchester United dan akan mempertimbangkan pilihan perpindahan baharu dalam dan luar negara pada musim panas ini, ketika masa depannya di Old Trafford masih belum jelas.

Dalam satu hantaran di laman Instagram yang disertakan video kompilasi aksi terbaiknya bersama Chelsea, Sancho menulis kepada 10.4 juta pengikutnya: “Saya amat bersyukur atas pengalaman ini. Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua di Chelsea yang membuatkan saya berasa seperti di rumah sendiri – rakan sepasukan, kakitangan dan penyokong.

“Saya mendoakan yang terbaik buat kelab ini pada masa hadapan. Saya benar-benar berterima kasih. Terima kasih, Chelsea.”

Sancho dijangka melapor diri semula di Carrington hujung bulan ini, namun masa depannya bergantung kepada pelan baharu pengurusan Red Devils

Kontrak Sancho bersama United berbaki setahun lagi hingga 2026, dengan pilihan lanjutan selama satu musim. – AGENSI, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here