Home Buletin Semasa PERPADUAN NEGARA PADA TAHAP SEDERHANA TINGGI, IPNas 2025 CATAT SKOR 0.701

PERPADUAN NEGARA PADA TAHAP SEDERHANA TINGGI, IPNas 2025 CATAT SKOR 0.701

66
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Kedudukan perpaduan negara berdasarkan dapatan Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) 2025 kini berada pada skor 0.701 dengan tahap sederhana tinggi.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj berkata, pencapaian itu membuktikan usaha berterusan kerajaan dan rakyat dalam memperkukuh perpaduan berada pada landasan yang betul serta menunjukkan trend peningkatan yang konsisten.

Menurut beliau, angka tersebut bukan sekadar pencapaian untuk dibanggakan, sebaliknya berperanan sebagai kompas strategik dalam membimbing hala tuju dasar negara.

“IPNas berfungsi sebagai instrumen penting dalam membantu kerajaan mengenal pasti kekuatan, kelemahan serta keutamaan intervensi, sekali gus memastikan setiap dasar dan program yang dilaksanakan benar-benar memberi impak kepada pengukuhan perpaduan nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Zon Timur Tahun 2026, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhamad pada program itu.

Tambah beliau, setiap individu mempunyai peranan sebagai agen perpaduan sama ada di peringkat individu, keluarga, komuniti mahupun tempat kerja.

Menurutnya, tindakan kecil seperti berinteraksi, bekerjasama dan saling membantu mampu memberi impak besar dalam memperkukuh jaringan sosial serta membina masa depan negara yang lebih harmoni dan sejahtera.

Dalam pada itu, beliau berkata, IPNas turut menunjukkan Wilayah Timur mencatat antara skor tertinggi di Semenanjung Malaysia iaitu 0.741.

“Pahang ialah negeri yang mencatat skor tertinggi di Malaysia, sekali gus membuktikan perpaduan bukan sesuatu yang abstrak, tetapi boleh dibina secara nyata melalui gabungan tadbir urus yang baik, pembangunan inklusif dan penglibatan komuniti yang aktif,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa asas perpaduan di Zon Timur Semenanjung Malaysia adalah kukuh dan berdaya tahan hasil budaya hidup bermasyarakat yang menekankan nilai kebersamaan dan saling menghormati.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here