KUALA LUMPUR: “Orang pandang rendah pada saya adalah perkara biasa yang dilalui dari dulu sampai sekarang,” kata pelakon Aedy Ashraf apabila segelintir pihak memperlekehkannya sebagai penerbit filem aksi Tarung : Unforgiven.
Memetik laporan menerusi Berita Harian, Aedy atau nama sebenar Mohammad Addy Ashraf Rosmadi, 32, yang hampir dua dekad berlakon berkata, dia tidak berasa tergugat atau mengambil serius tanggapan orang pada kemampuan dirinya.
“Saya tak anggap perkara itu boleh menghalang diri saya untuk mencapai apa yang diimpikan selama ini. Apa yang penting, saya cuma buat perkara ini untuk kepuasan diri dan ‘team’.
“Saya nak buat perkara yang boleh menggembirakan diri saya ketika terbabit dalam bidang lakonan, 10 atau 15 tahun lalu. Jadi, saya tak kisah orang nak pandang rendah atau memperlekeh pun,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka filem Tarung : Unforgiven, di sini, semalam.
Kata pemenang trofi Aktor Filem Popular Anugerah Bintang Popular ke-36 (ABP36) itu, dia sendiri mengakui tidak pernah terfikir untuk bergelar penerbit.
“Bidang lakonan adalah cinta pertama saya dan menjadi penerbit filem pula adalah impian yang saya nak buat dan berjuang habis-habisan.
“Memang saya nak jadi pengarah selepas ini, tapi sebagai pengarah kita hanya terbabit sebanyak 30 peratus dari proses pembikinan filem.
“Manakala, sebagai penerbit, kita akan terbabit dari mula sehingga proses pembikinan filem itu selesai. Sudah pasti cabarannya juga sangat besar, tapi saya mahu menyahut cabaran itu,” katanya.
Beralih cabaran sebagai penerbit pula, kata Aedy, dia mengakui pernah berasa hampir putus asa untuk meneruskan projek filem Tarung : Unforgiven itu.
“Setiap kali bangkit dari tidur, saya rasa nak menangis dan putus asa serta bertanya pada diri sendiri kenapa aku buat benda ini?
“Tapi apa yang membuat saya terus kuat ialah bila ingat balik kenapa saya nak buat filem ini iaitu untuk menunjukkan kepada pembikin filem di luar sana.
“Jika saya yang tidak habis sekolah dan tidak belajar bidang filem ini pun boleh buat, pasti mereka juga boleh,” katanya.
Filem Tarung : Unforgiven arahan Razaisyam Rashid turut menampilkan pelakon seperti Mierul Aiman, Azira Shafinaz, Zul Ariffin, Bront Palarae, Ikmal Amry, Sharifah Sakinah dan ramai lagi. – HMetro Online –
IMedikel TV






