MANCHESTER: Memetik laporan AGENSI menerusi Berita Harian persaingan kejuaraan Liga Perdana Inggeris semakin hangat apabila Manchester City berjaya memberi tekanan kepada Arsenal dengan kemenangan ke atas Chelsea hujung minggu lalu.
Keputusan itu hadir selepas Arsenal tewas di laman sendiri kepada Bournemouth, menyebabkan jurang di puncak liga kini hanya enam mata antara kedua-dua pasukan.
Manchester City akan menentang Arsenal di laman sendiri, Stadium Etihad pada perlawanan seterusnya. Jika City menang, jurang boleh dikurangkan kepada tiga mata sahaja, dan masih ada satu perlawanan di tangan.
Sebagai pasukan yang menamatkan musim di tempat kedua dalam tiga musim terakhir, penyokong Arsenal mula berasa bimbang dengan situasi ini – lebih-lebih lagi kerana Manchester City pernah menjuarai liga dalam dua daripada musim berkenaan.
Sebaliknya, penyokong City pula semakin yakin dengan peluang pasukan mereka.
Seorang penyokong City dirakam minum menggunakan botol berjenama Arsenal ketika menyaksikan kemenangan 3-0 ke atas Chelsea.
Aksi itu seolah-olah menyindir bahawa Arsenal mungkin akan “gugup” dalam perebutan kejuaraan sekali lagi.
Video berkenaan tular dengan cepat dan mendapat pelbagai reaksi di media sosial.
Piers Morgan, seorang penyokong tegar Arsenal, memberi reaksi marah: “Kamu nak biarkan ejekan ini, @Arsenal? Atau kamu nak bangkit, tunjuk keberanian, dan lawan untuk gelaran ini seolah-olah ia lebih penting daripada hidup mati.”
Namun, ada juga yang menyangka situasi itu mungkin dirancang untuk menjadi tular. Persoalan timbul bagaimana seorang penyokong City boleh memiliki botol Arsenal ketika perlawanan Chelsea.
Akhirnya, penyokong terbabit, Tal Rehman, tampil menjelaskan bahawa botol itu sebenarnya diberikan oleh staf Arsenal ketika pasukan itu bermain di Etihad musim lalu.
Rehman menjelaskan dia hanya mahu bergurau dengan penyokong Arsenal pada hari perlawanan: “Ia cuma gurauan. Orang kena faham saya bukan peminat fanatik, saya peminat bola sepak.”
“Saya hormat permainan, hormat penyokong, hormat semua. Jadi saya dan anak saya hanya pegang botol itu macam nak minum. Tiba-tiba orang tepuk bahu saya dan kata saya dah viral, jadi meme.
“Saya terkejut. Lepas itu telefon saya tak berhenti berbunyi.” – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






