Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Isu nelayan tempatan yang menjual diesel bersubsidi kepada nelayan asing kini semakin membimbangkan berbanding penyelewengan diesel di stesen minyak yang tidak melibatkan kuantiti besar.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, situasi itu berlaku kerana pendapatan menjual diesel jauh lebih lumayan berbanding turun ke laut menangkap ikan yang belum tentu memperoleh hasil.
“Tangki bot ini besar jadi memang kita bimbang, sebab subsidi untuk nelayan di Kelantan ini RM1.65 berbanding RM6.70, maknanya mereka mesti akan ambil peluang, itu yang kita bimbang.
“Kita bekerjasama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan polis marin untuk memberi perhatian terhadap penyeludupan diesel bersubsidi melalui jalan laut kerana perbezaan harga hampir RM5.
“Kalau RM5 kali dengan 10,000 liter, berapa dah? Baik jual minyak daripada tangkap ikan.
“Jadi kita akan tingkatkan operasi dan risikan maklumat di jeti-jeti nelayan selain memantau kemungkinan pemindahan diesel dilakukan di tengah laut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.
Menurutnya, terdapat kemungkinan diesel bersubsidi itu dijual kepada nelayan asing dari Thailand dan Vietnam.
Semalam, media melaporkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menumpaskan sindiket yang dipercayai memanipulasi bekalan diesel bersubsidi kepada nelayan dengan rampasan empat bot di jeti nelayan Kampung Geting, Pengkalan Kubor.
Rampasan dilakukan bersama Pasukan Polis Marin pada jam 4.53 petang kelmarin membabitkan empat bot dengan muatan 3,300 liter diesel, selain penahanan empat lelaki tempatan berusia sekitar 20-an hingga 40-an.
IMedikel TV






