KUALA LUMPUR: Pelakon, Aeril Zafrel menyelar tindakan individu dikenali sebagai Tareq Fit yang menyebarkan tangkap layar perbualan antara dia dengan penyampai radio, Azad Jasmin.
Menerusi hantaran di Threads, Aeril, 38, tidak menyokong tindakan Azad yang didakwa menghina ibu individu itu, namun menegur sikap Tareq yang sebelum ini pernah menghina dia dan seluruh keluarga.
“Aku tak adalah sokong apa yang Azad cakap. Tapi, benda tak akan jadi kalau kau tak mula dulu. Kau pun nak tegur, jangan babitkan ahli keluarga orang.
“Hari itu, kau cakap aku dayus, isteri dengan anak aku penyebar maksiat, kami masuk neraka, rezeki aku tak halal. Pun, aku diam lagi,” tulisnya.
Tegas Aeril lagi, perbualan di DM (mesej) sepatutnya disimpan dan diselesaikan di platform itu.
“Lagi satu, benda dekat DM selesai di DM saja. Tak perlu nak ‘screenshot’ (tangkap layar), minta simpati daripada orang luar,” tulisnya.
Terdahulu, tular di media sosial tangkap layar perbualan antara Azad dan individu itu.
Tindakan Azad dikecam netizen, namun tidak kurang juga yang menyokongnya kerana individu itu didakwa kerap menghina orang lain. – HMetro Online –
IMedikel TV






