KUALA LUMPUR: Dalam keperitan hidup yang semakin menghimpit, pelakon Azar Azmi tidak menyangka kehadirannya mencari rezeki bertukar menjadi detik penuh emosi apabila menerima bantuan wang tunai lebih RM35,000 hasil sokongan orang ramai, semalam.
Bantuan itu disalurkan usahawan terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman menerusi sesi siaran langsung, sekali gus memberi sinar baharu buat Azar yang sebelum ini berdepan kesukaran meneruskan kehidupan bersama anaknya.
Aliff berkata, Azar hadir menemuinya dengan niat untuk bekerja sebagai pembungkus barangan dengan gaji sekitar RM1,700 sebulan, selain elaun kerja lebih masa sebanyak RM300.
Menurutnya, kehadiran pelakon itu bukan untuk meraih simpati, sebaliknya menunjukkan kesungguhan mencari rezeki halal demi kelangsungan hidup.
“Dia tidak pernah mengemis atau meminta duit. Dia datang dengan niat mahu bekerja dan ditemuduga sebagai pembungkus sahaja.
“Dia mahu membesarkan anak yang mempunyai masalah kesihatan, selain berhasrat membeli motosikal bagi memudahkan urusan harian,” katanya.
Aliff berkata, bantuan yang disalurkan adalah hasil sokongan orang ramai yang membeli produknya sepanjang siaran langsung itu.
“Saya beritahu dia, rakyat Malaysia sayang awak. Wang ini bukan milik saya sepenuhnya, tetapi datang daripada mereka yang membeli produk saya,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau turut mempertimbangkan untuk menawarkan pekerjaan tetap kepada Azar, sama ada sebagai kerani atau pembantu pembungkusan.
Sementara itu, Azar mengakui terkejut dan tergamam menerima bantuan berkenaan sambil menyifatkannya sebagai sesuatu yang tidak pernah dijangka.
Katanya, wang itu akan digunakan untuk menampung keperluan harian anak-anak serta memperbaiki keadaan hidupnya.
“Menggigil tangan saya memegang wang ini. Saya sangat terharu dan berterima kasih. Sudah lama saya tidak mempunyai wang, dan bantuan ini amat besar maknanya,” katanya.
Mengulas tawaran kerja, Azar berkata, dia kini tidak berada dalam posisi untuk terlalu memilih pekerjaan demi memastikan keperluan anaknya terjaga.
“Saya memikul tanggungjawab sebagai ibu dan bapa. Apa sahaja kerja yang halal dan berkat, saya terima dengan syukur.
“Saya perlu membeli susu, lampin dan memikirkan kos rawatan jika anak sakit. Semua itu memerlukan perbelanjaan yang besar,” katanya.
Dalam masa sama, Azar mendedahkan dia kini tidak mempunyai akaun bank serta akaun media sosial susulan kontroversi lalu.
Mac lalu, namanya menjadi perhatian selepas dia dan suaminya, Mohd Apri Hazreen Mohd Sapri, ditahan polis berhubung kes penipuan membabitkan penjualan tanah kurnia serta urusan darjah kebesaran.
Bagaimanapun, Azar dibebaskan dan dijadikan saksi pendakwaan, manakala suaminya mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dihadapi. – BH Online –
IMedikel TV






