Home Buletin Semasa PENIPUAN DALAM TALIAN CECAH KERUGIAN RM687 JUTA

PENIPUAN DALAM TALIAN CECAH KERUGIAN RM687 JUTA

165
0

Oleh: Nur Athirah Azman, Wartawan I Medikel TV

BACHOK: Kes jenayah yang melibatkan penipuan dalam talian membabitkan nilai kerugian sehingga mencecah RM687 Juta.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching berkata, mengikut statistic yang dikeluarkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Aman ianya meningkat dari 15,659 kepada 19,224 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Katanya, kes itu telah meningkat sebanyak 23 peratus bagi tempoh Januari hingga September 2023.

“Sebanyak 1,764 laman sesawang palsu untuk penipuan pemancingan maklumat (Phishing) telah disekat dan 4,013 penurunan akaun dan kandungan telah dibuat setakat 31 Oktober ini.

“Pusat Tindakbalas Insiden Siber Cyber999 kendalian CyberSecurity Malaysia merekodkan sebanyak 7,292 insiden keselamatan siber sepanjang tahun lalu manakala, 4,898 insiden keselamatan siber telah diterima bagi Januari hingga September tahun ini,” katanya dalam ucapan di Majlis Perasmian Anti-Scam Kebangsaan 2023 Peringkat Negeri Kelantan di Dewan Tuanku Canselor , Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok, di sini, semalam.

Beliau berkata, ancaman dan serangan siber yang berlaku pada ketika ini bukan hanya tertumpu kepada serangan terhadap syarikat atau organisasi, malah pengguna individu turut menjadi mangsa pelbagai ancaman siber termasuk penipuan dalam talian dan scam.

“Sebanyak 410,590,277 jumlah Sistem Pesanan Ringkas (SMS) disekat, 79,322 talian termasuk talian mudah alih dan tetap yang menghantar SMS meragukan telah ditamatkan perkhidmatannya serta, 553,173,467 panggilan meragukan telah disekat dari Januari sehingga September 2023.

“Selain itu, dengan jumlah 19 juta SMS yang mengandungi pautan (Hyperlink) telah disekat dari 2 Mei sehingga September 2023,” katanya.


Menurutnya, berdasarkan aktiviti penipuan dan ancaman scam itu, semua pihak dari seluruh peringkat perlu mengambil perhatian serius bagi pembangunan sosial dan ekonomi negara.

Jelasnya, menurut statistik itu, mangsa scam merangkumi pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan profesional seperti pensyarah, guru, jurutera, doktor, ahli perniagaan serta pesara dan warga emas.

“Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 dilaksanakan sebagai salah satu usaha untuk mendidik dan berkongsi maklumat bagi memupuk kesedaran rakyat Malaysia tentang penipuan dalam talian dan ancaman scam,” katanya.

Tambahnya, kempen kesedaran keselamatan siber khususnya penipuan dalam talian dan scam perlu dipergiat dan diperluas ke seluruh lapisan masyarakat dengan pendekatan yang lebih kreatif dan komprehensif.

Turut hadir Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhamad Fa-Iz Petra Ibni Almarhum Sultan Ismail Petra bagi menyempurnakan program tersebut.

I Medikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here