Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah, Wartawan I Medikel TV
KOTA BHARU: Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Kelantan menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada untuk menghadapi musim banjir.
Menurut Ketua Penolong Pengarah MKN Kelantan, Hishamuddin Abd. Rashid, ada antara dalam kalangan penduduk menjadikan musim banjir sebagai pesta air.
“Seperti kita sedia maklum, di Kelantan banjir adalah suatu masalah yang besar setiap tahun. Tetapi juga adalah suatu pesta air. Kalau kita tengok setiap tahun mesti ada korban banjir.
“Jadi kita nasihatkan kepada penduduk berwasapada dan pastikan anak-anak di bawah umur bermain di tempat arus atau sungai. Biasanya kalau banjir air dari hulu turun ke hilir adalah deras dan laju. Pantau anak-anak supaya tidak bermain banjir.
Beliau berkata demikian di sidang media selepas Perasmian Program Kesedaran Keselamatan Komuniti Peringkat Daerah Kota Bharu 2023, di Dewan Sri Buloh Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Kedai Buloh, di sini, hari ini.
Hishamuddin berkata peranan MKN adalah untuk memberi kesedaran kepada komuniti untuk memikirkan langkah-langkah tertentu bagi mempercepatkan membantu mangsa banjir.
“Kita mengajar masyarakat untuk bertindak dan secara spontan dan bukan hanya sekadar menunggu bantuan penyelamat.
“Kita memberi kesedaran kepada mereka khususnya di peringkat sekolah untuk menyelamatkan dengan cara yang terbaik dan secara sistematik,”katanya.
Menurutnya, terdapat 20 program MKN dalam menghadapi banjir di peringkat jajahan serta parlimen sejak awal bulan Oktober.
Hishamuddin berkata, pihaknya berganding bahu bersama belia serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk memberi kesedaran dan bantuan dalam bentuk material, idea dan input untuk menghadapi banjir.
“MKN ni lebih fokus kepada keselamatan rakyat, keselamatan negara dan sebagainya. Jadi kami ada 9 teras keselamatan dan antara teras kami buat sekarang adalah keselamatan rakyat.
“Itu yang kami cuba tekankan adalah bukan setakat membantu rakyat, tetapi agensi-agensi yang ada di Kelantan,” katanya.
I Medikel TV






