Home Buletin Semasa USAHA SATUKAN KOMUNITI PERMOTORAN KELANTAN MELALUI MAT MOTOR DAY 2.0

USAHA SATUKAN KOMUNITI PERMOTORAN KELANTAN MELALUI MAT MOTOR DAY 2.0

Oleh: Afrizam Arif @I Medikel TV

KOTA BHARU: Usaha menghimpunkan komuniti permotoran di Kelantan dalam satu kumpulan besar menjadi antara matlamat utama penganjuran Mat Motor Day 2.0 pada 9 dan 10 Oktober ini.

Penganjur program Mat Motor Day 2.0, Mohamad Arif Mustafa, berkata program itu bukan sekadar menghimpunkan peminat motosikal, malah menjadi platform untuk menyatukan pelbagai kelab dan komuniti permotoran dari seluruh Kelantan.

Menurutnya, jumlah peminat motosikal di negeri itu yang besar menyebabkan komuniti berkenaan perlu mempunyai satu platform bersama bagi mengeratkan hubungan serta mengelakkan mereka bergerak secara berasingan.

“Matlamat saya adalah untuk komuniti permotoran di Kelantan. Saya tengok komuniti permotoran di Kelantan terlalu ramai, jadi saya buat Mat Motor Day untuk menghimpunkan mereka dan melihat bagaimana kita boleh satukan komuniti ini.

“Kalau kita tidak buat satu platform seperti ini, komuniti permotoran akan menjadi berpecah-pecah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penyerahan Tajaan Penganjuran Mat Motor Day 2.0 Kelantan
di sini, hari ini, yang turut dihadiri Ahli Lembaga Pengarah Kilang Emas Sri Semantan (KESS), Shaaini Md Jumaat.

Dalam majlis itu, Shaaini menyampaikan replika cek RM1 juta kepada penganjur.

Mohamad Arif berkata, Mat Motor Day 1.0 sebelum ini berjaya menarik kira-kira 60,000 pengunjung, sekali gus mendorong penganjur memperluaskan skala program pada edisi kedua.

Katanya, Mat Motor Day 2.0 menyasarkan kehadiran sehingga 100,000 pengunjung, selain membuka ruang kepada pelbagai kelab motosikal dan komuniti untuk bersama-sama menyertai program berkenaan.

Sementara itu, Shaaini berkata, penglibatan mereka dalam Mat Motor Day 2.0 selari dengan usaha memperkukuh hubungan bersama komuniti, khususnya golongan muda yang membentuk sebahagian besar kumpulan peminat permotoran.

Katanya, program itu turut menjadi peluang untuk golongan muda mendapatkan pendedahan mengenai ilmu kewangan dan pelaburan emas menerusi booth serta aktiviti yang disediakan sepanjang program.

Jelasnya, aspek keselamatan turut diberi perhatian dengan penganjur menyediakan pasukan sukarelawan bagi menjaga beberapa lokasi penting sepanjang program, selain memastikan kelancaran pergerakan peserta dan pengunjung.

Mat Motor Day 2.0 akan berlangsung di pekarangan Lotus, di sini, pada 9 dan 10 Oktober, dengan pelbagai aktiviti serta penyertaan komuniti permotoran dari dalam dan luar Kelantan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here