Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
CAMERON HIGHLANDS: Seramai 121 peserta mewakili 42 agensi kerajaan menyertai Ekspedisi Mendaki Gunung Irau sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-67 Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah, di sini kelmarin.
Pendakian bermula di Taman Eko Rimba (TER) Mossy Forest, di sini, dilepaskan oleh Sultan Pahang yang turut berkenan bertemu dan bergambar dengan peserta sebelum aktiviti mendaki bermula.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pahang, Datuk Fadzli Mohamad Kamal: Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Sri Nazri Abu Bakar dan Timbalan Pengarah (Operasi), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Dr Grippin Akeng.
Gunung Irau terletak dalam Hutan Simpan Batu Gangan Tambahan berketinggian kira-kira 2,110 meter dari aras laut, aktiviti pendakian mengambil masa kira-kira lapan jam mendaki dan turun.

Tengku Abdullah bertitah, peserta diharap dapat bersama-sama menjaga kelestarian alam sekitar sepanjang ekspedisi khususnya kawasan TER Mossy Forest yang merupakan khazanah alam semula jadi yang perlu dipelihara.
“Saya berharap peserta tidak merosakkan alam sekitar dan turut membantu menjaga kebersihan kawasan berkenaan dengan mengambil sampah yang ditemui sepanjang laluan pendakian.
“Kalau nampak yang kotor-kotor angkatlah sikit, sama-sama kita membantu menjaga kebersihan hutan yang lokasi pelancongan terkenal di daerah ini,” titah baginda.
Pemulihan kawasan laluan ke Gunung Irau dilaksanakan oleh Pejabat Hutan Daerah (PHD) Cameron Highlands dengan bantuan Malim Gunung Perhutanan (MGP) bagi meningkatkan keselamatan pendaki.

Sementara itu, Pegawai Hutan Daerah Cameron Highlands, Nasrul Akmal Amaludin berkata, pihaknya sentiasa berusaha memajukan TER Mossy Forest dan Gunung Irau yang terkenal dikalangan pelancong tempatan dan luar negara.
“Dalam tempoh lapan bulan tahun ini lebih 9,197 pelancong dalam dan luar negara berkunjung ke TER Mossy Forest berbanding seramai 30,414 tahun lalu.
“Gunung Irau dan Mossy Forest sememangnya terkenal dengan udara sejuk, berkabus dan kehijauan pelbagai spesies lumut yang tumbuh pada pokok hingga membentuk pemandangan yang begitu unik dan menarik,” katanya.
IMedikel TV




