Blitar, Indonesia: Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia di sebuah bilik sewa di kawasan Tawangsari, Garum, Blitar, pada malam Rabu lalu, dipercayai selepas mengambil ubat kuat secara berlebihan.
Memetik laporan detikJatim Menerusi Harian Metro, mangsa yang dikenali sebagai AK, 42, berasal dari Malang dan ditemukan meninggal dunia di bilik sewa berkenaan.
Berdasarkan pemeriksaan di Rumah Sakit Umum Daerah (RSUD) Ngudi Waluyo, Wlingi, mangsa dipercayai mengambil ubat secara berlebihan termasuk kemungkinan sejenis ubat kuat.
Pegawai Bahagian Perhubungan Awam Polis Daerah Blitar, Aiptu Muheni berkata, mangsa dikenal pasti sebagai AK selepas proses pengecaman dijalankan.
Katanya, proses pengecaman dilakukan kerana tiada kad pengenalan ditemukan pada tubuh mangsa ketika kejadian.
“Pemeriksaan perubatan mengesahkan tiada sebarang kesan luka atau kecederaan fizikal akibat perbuatan jenayah pada tubuh mangsa,” katanya.
Muheni berkata, indikasi awal menunjukkan mangsa mengambil ubat secara berlebihan dipercayai sejenis ubat kuat selain tiada kesan kecederaan ditemukan pada tubuhnya.
Polis turut menemui seorang wanita berada di dalam bilik sewa berkenaan ketika tiba di lokasi dan perkara itu masih dalam siasatan lanjut.
Menurut Muheni, wanita terbabit dipercayai rakan yang dikenali mangsa menerusi aplikasi MiChat, namun identitinya masih belum dapat didedahkan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Garum, AKP Agus Prayitno berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam kira-kira jam 5 petang sebelum anggota bergegas ke lokasi dan menemukan mangsa yang sudah tidak bernyawa.
Jenazah mangsa kemudian dibawa ke RSUD Ngudi Waluyo, Wlingi sebelum diserahkan kepada keluarganya manakala polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi melengkapkan siasatan berhubung kematian berkenaan.– HMetro Online –
IMedikel TV






