ISLAMABAD: Polis Pakistan pada Selasa menyiasat kes pempengaruh, Sana Yousaf, yang ditemukan meninggal dunia akibat ditembak di rumahnya.
Portal DW melaporkan, pembunuhan remaja berusia 17 tahun itu mencetuskan kebimbangan baharu mengenai keselamatan pempengaruh di Pakistan, terutamanya wanita muda.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, polis dikatakan memfailkan kes terhadap suspek, selepas ibu Sana tampil membuat aduan.
“Pembunuhan berlaku di dalam kediaman mangsa dan seolah-olah dilakukan oleh seseorang yang dikenalinya.
“Suspek adalah tetamu berulang di rumah itu, menunjukkan hubungan peribadi antara mereka,” kata seorang pegawai, Malik Asif dari Balai Polis Sumbal.
Laman web berita Dawn memetik maklumat awal polis bahawa seorang lelaki memasuki rumah keluarga itu kira-kira jam 5 petang pada Isnin, dan menembak Sana dua kali di dada.
Sana dikejarkan ke hospital, namun meninggal dunia akibat kecederaan dialaminya.
Selepas kejadian, suspek dikatakan melarikan diri dari rumah itu.
Ibu Sana berkata, suspek mempunyai penampilan segak, ketinggian sederhana, berpakaian kemeja hitam dan seluar.
Katanya, dia dan kakak iparnya, yang kebetulan datang ke rumah menyaksikan kejadian itu, akan dapat mengenal pasti suspek.
Menurutnya, anak lelakinya yang berusia 15 tahun tidak ada di rumah, manakala kakak iparnya melawat mereka selama beberapa hari.
Sana terkenal di media sosial kerana video pendek dan kandungan gaya hidupnya.
Dia mempunyai hampir 800,000 pengikut di TikTok dan hampir 500,000 di Instagram (IG) serta mencipta populariti selepas berkongsi video mengenai budaya, hak wanita dan pemerkasaan belia. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






