Home Hiburan ADI PUTRA DAKWA CUBA DIRASUAH RM10 JUTA

ADI PUTRA DAKWA CUBA DIRASUAH RM10 JUTA

2
0

PUTRAJAYA: Pelakon, Datuk Adi Putra membuat pengakuan berani apabila mendedahkan dirinya sering menjadi sasaran pihak tertentu yang cuba menyogoknya wang bernilai jutaan ringgit.

Memetik laporan Harian Metro, Adi Putra atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera Halim, 45, berkata, tawaran lumayan itu bagaimanapun tidak melibatkan kerjaya lakonannya, tetapi ia adalah urusan lain yang enggan diperincikan secara mendalam.

Menurutnya, ada pihak tertentu yang menggunakan pendekatan ‘melobi’ atau memujuk demi kepentingan peribadi mereka.

“RM10 juta, RM20 juta pun ada. Sama juga macam filem Konspirasi ini, wang dihantar dari luar negara dengan jumlah besar.

“Tidak logik zaman sekarang mahu beri RM100 sahaja. Saya percaya perkara itu sudah jadi lumrah,” katanya ketika ditemui pada Malam Gala filem Konspirasi di IOI City Mall, Putrajaya, semalam. 

Bercerita lanjut, Adi Putra mengakui cubaan untuk merasuah dirinya bukan berlaku sekali dua, malah menyifatkan ia adalah sesuatu yang sering terjadi pada ketika ini.

Bagaimanapun, pelakon filem Mat Kilau ini menegaskan dia tidak melatah sebaliknya akan menilai terlebih dahulu setiap pemberian sebelum membuat keputusan sama ada mahu menerima atau menolaknya.

“Ramai yang cuba merasuahkan saya, tapi saya tengok juga perspektif mereka.

“Adakah rasuah itu untuk menghalalkan cara atau sekadar hadiah? Kalau hadiah itu berbeza, tetapi kalau rasuah untuk menghalalkan cara, saya memang tidak akan terima,” katanya kepada Harian Metro.

Meskipun sedar isu berkenaan amat sensitif untuk dikupas, Adi Putra tetap berpegang teguh pada prinsip hidupnya dan memilih untuk bersuara secara terbuka tanpa berselindung.

“Saya cakap terus terang sebab inilah realiti zaman sekarang. Banyak perkara berlaku di luar sana dan saya tidak mahu ‘spin’.

“Mungkin saya perlu berhati-hati supaya tidak mengguris hati orang lain, tetapi di media sosial ramai ‘keyboard warrior’ yang tidak fikir tentang perasaan orang lain,” katanya.

Kongsinya, dia tidak mudah untuk bergelap mata dengan kemewahan duniawi kerana dia menganggap maruah dan legasi keluarga jauh lebih bernilai.

“Bagi saya duit itu cuma angka. Walau sebanyak mana pun, ia mudah masuk dan keluar. Tetapi apa yang paling penting ialah apa yang kita mahu tinggalkan untuk waris dan keluarga,” katanya lagi.

Selain Adi Putra, filem Konspirasi turut dibintangi barisan pelakon hebat tanah air antaranya Roy Azman, Esma Daniel, Hisyam Hamid, Amir Nafis, Alicia Amin dan ramai lagi. Filem ini bakal menemui penontot bermula 21 Mei ini. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here