Home Buletin Semasa OPS GASAK PERANGI SALAH GUNA GAS SUBSIDI, LINDUNGI HAK PENGGUNA DOMESTIK

OPS GASAK PERANGI SALAH GUNA GAS SUBSIDI, LINDUNGI HAK PENGGUNA DOMESTIK

343
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUALA LUMPUR: Operasi penguatkuasaan berskala besar sedang digerakkan bagi membanteras penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi yang sepatutnya dinikmati rakyat, tetapi disalah guna pihak industri atau sindiket.

OPS GASAK, yang berlangsung sejak 1 Mei hingga 31 Oktober depan, memberi tumpuan kepada aktiviti haram termasuk decanting, penyeludupan dan penggunaan LPG subsidi secara tidak sah oleh industri berskala sederhana dan besar.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan operasi itu bukan bertujuan memotong atau menarik semula subsidi, sebaliknya memastikan bantuan kerajaan disalur tepat kepada pengguna isi rumah.

“Asas kepada subsidi LPG adalah sebagai subsidi dapur rumah rakyat. Ia adalah subsidi kepenggunaan dan bukannya subsidi perdagangan dan komersial. Walau bagaimanapun, peruntukan sedia ada membenarkan mana-mana pihak menggunakan maksimum 42 kg pada satu-satu masa tanpa memerlukan permit.

“Kehendak kumpulan para peniaga jualan makanan dan minuman adalah mereka perlu menggunakan lebih daripada 3 tong LPG bersubsidi pada satu-satu masa. Sekiranya keperluan mereka ingin dipertimbangkan, pindaan perlu dibuat kepada Peraturan tahun 2021 yang menetapkan had 42 kg pada satu-satu masa.

“Pertimbangan juga perlu mengambil pelbagai faktor, antaranya jumlah had tong bersubsidi untuk setiap perniagaan dan jenis serta skala perniagaan (mikro, kecil, sederhana, besar),”katanya dalam kenyataan semalam.

Jelasnya Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021, penggunaan melebihi 42kilogram (kg) LPG pada satu-satu masa memerlukan permit khas. Ini bagi memastikan subsidi tidak dimanipulasi untuk keuntungan komersial.

“Terdapat pandangan bahawa Peraturan 2021 tersebut membawa impak kepada kos perniagaan para peniaga jualan makanan dan minuman yang akhirnya disebutkan akan memberi kesan kepada harga jualan mereka sekiranya mereka tidak dibenarkan menggunakan tong bersubsidi,”katanya.

Katanya tiada dasar baru atau pemotongan subsidi. OPS GASAK berteraskan undang-undang sedia ada untuk mengawal ketirisan dan penyalahgunaan bekalan bersubsidi.

Beliau berkata setakat ini, pemeriksaan di premis makanan dan minuman dijalankan secara advokasi dan semakan, tanpa tindakan undang-undang, selagi tong LPG subsidi digunakan untuk operasi sendiri dan bukan untuk dijual semula atau disimpan berlebihan.

Laporan penuh OPS GASAK akan dijadikan asas pertimbangan untuk menilai semula peraturan semasa, dengan mengambil kira impak kepada peniaga, pengguna dan kewangan negara.

“Semua pertimbangan ini dan syor serta pandangan pelbagai pihak akan diambil kira dalam menentukan keperluan untuk pindaan kepada PPKB (Pindaan) 2021 yang sedang berkuat kuasa. Sekiranya pindaan adalah jawapan, perlu ditentukan bentuk parameter pindaan tersebut.

“Maka, laporan OPS GASAK adalah penting sebagai asas hala tuju penambahbaikan kepada PPKB (Pindaan) 2021,”katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here