Home Sukan PELUMBA F1 TERUJA DENGAN CABARAN BAHARU DI GRAND PRIX CHINA

PELUMBA F1 TERUJA DENGAN CABARAN BAHARU DI GRAND PRIX CHINA

88
0

SHANGHAI: Era baharu Formula Satu (F1) kini menuju ke perlumbaan pecut pertamanya di Shanghai hujung minggu ini, dengan Grand Prix (GP) China menjanjikan cabaran berbeza berbanding Melbourne menyaksikan George Russell membawa Mercedes meraih kedudukan satu-dua.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, Silver Arrows menguasai pembuka musim dengan Russell menang di hadapan Kimi Antonelli dan diikuti pasangan Ferrari, Charles Leclerc dan Lewis Hamilton dalam perlumbaan pertama di bawah peraturan baharu yang menyeluruh.

Lando Norris dan McLaren bergelut dengan prestasi menyebabkan juara dunia dari Britain itu hanya menduduki tangga kelima manakala rakan sepasukannya, Oscar Piastri gagal memulakan perlumbaan selepas terbabit kemalangan semasa menuju ke grid.

Juara empat kali Red Bull, Max Verstappen berakhir di tempat keenam selepas bermula dari tempat ke-20 akibat kemalangan ketika kelayakan.

Litar Antarabangsa Shanghai, berbeza dengan trek Albert Park di Melbourne, mempunyai satu landasan lurus panjang dan beberapa kompleks selekoh.

Ia memerlukan pendekatan berbeza dalam penggunaan bateri dan penjanaan tenaga pada kereta baharu, yang mempunyai pembahagian 50-50 antara kuasa konvensional dan elektrik.

Namun, dengan hanya satu sesi latihan sebelum kelayakan pecut pada Jumaat, pasukan akan mempunyai masa sangat terhad untuk menyesuaikan set-up dan strategi.

Sabtu pagi akan menyaksikan perlumbaan pecut sepanjang 19 pusingan di litar sepanjang 5.451km ini dan kelayakan GP pada waktu petang.

GP pada Ahad pula sepanjang 56 pusingan, dan jika perlumbaan di Melbourne dijadikan panduan, ia boleh menjadi sangat sengit.

“Shanghai akan penting untuk memastikan semuanya tepat dari segi penggunaan, kerana jelas kita hanya ada satu sesi latihan sebelum kelayakan,” kata Antonelli.

“Kadar kemajuan akan sangat besar dan penting untuk tidak melakukan langkah salah kerana keadaan boleh berubah dengan cepat.”

Leclerc bersetuju: “Mempunyai perlumbaan pecut begitu awal dalam musim seperti ini akan menjadi cabaran besar untuk semua orang. Ia akan sangat rumit.”

Pemenang perlumbaan, Russell, berkata satu-satunya kebimbangan beliau mengenai kereta 2026 adalah kurang kawalan apabila sayap hadapan aktif dibuka dalam mod ‘straight’ baharu.

Diperkenalkan musim ini untuk mengurangkan rintangan udara dan memberi lonjakan kelajuan seperti sistem DRS yang kini tidak digunakan, Russell berkata ia membuat kereta menjadi sukar dikawal.

“Satu-satunya perkara saya minta dari FIA adalah supaya sayap hadapan tidak jatuh terlalu agresif,” kata Russell. “Apabila kita buka ‘straight mode’, kita akan mengalami banyak ‘understeer’, dan ketika saya berada di belakang Charles, sayap hadapan seolah-olah tidak berfungsi.

“Jadi, dari aspek keselamatan, itu akan menjadikan perlumbaan lebih selamat dan lebih baik. Saya tak nampak sebarang kelemahan melakukan ini.”

Norris pula sangat kritikal terhadap kereta baharu. McLaren, yang begitu dominan musim lalu, jauh ketinggalan sepanjang hujung minggu di Australia.

“Jurang dengan mereka di hadapan agak besar dan jelas kami masih banyak kerja perlu dilakukan,” kata juara dunia itu.

Verstappen mengakui Red Bull juga ada isu untuk diperbaiki. “Saya menghadapi masalah pada permulaan dengan bateri, jadi sebaik sahaja kopling dilepaskan, saya tiada kuasa, jadi itu satu perkara yang perlu difahami,” kata pelumba Belanda itu. – AFP, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here