JOHOR BAHRU: Pemuda UMNO Johor mendakwa ketidakmampuan atau keengganan Pakatan Harapan (PH) menamakan calon Menteri Besar menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menggambarkan kelemahan dan ketidaktentuan kepemimpinan gabungan berkenaan.
Memetik laporan Berita Harian, Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros, berkata kegagalan menampilkan individu yang bakal menerajui kerajaan negeri sekiranya PH berjaya memenangi pilihan raya menimbulkan pelbagai persoalan mengenai hala tuju dan kesiapsiagaan gabungan itu.
Beliau berkata dalam sesebuah pasukan, ketua atau ‘kapten’ perlu diumumkan lebih awal bagi memberi keyakinan kepada ahli pasukan serta penyokong terhadap kemampuan pasukan berkenaan untuk mencapai kemenangan.
“Ketidakmampuan ataupun keengganan untuk menamakan seorang individu sebagai kapten untuk menjadi teraju kepada pasukan memberi gambaran bahawa pasukan tersebut tidak mempunyai calon berkaliber atau berwibawa yang diyakini mampu menggalas tanggungjawab itu.
“Jika pun diumumkan sebagai calon kapten, individu berkenaan mungkin tidak mampu menaikkan moral serta semangat juang pasukan, apatah lagi meyakinkan penyokong mereka sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan balas pemimpin PH yang mempertahankan keputusan gabungan itu untuk tidak menamakan calon Menteri Besar lebih awal.
Sebelum ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mempersoalkan tawaran yang mampu dikemukakan PH kepada rakyat negeri ini sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan selepas PRN Johor pada 11 Julai depan.
Menurut Onn Hafiz, sehingga kini PH masih gagal menampilkan calon Menteri Besar yang jelas untuk ditawarkan kepada rakyat selain tidak mengemukakan pelan pembangunan yang meyakinkan bagi masa depan Johor. – BH Online –
IMedikel TV






