TIJUANA: Layanan berat sebelah diterima skuad kebangsaan Iran sepanjang kempen Piala Dunia di Amerika Utara disifatkan sebagai satu ‘titik hitam’ dalam sejarah moden kejohanan itu.
Kecaman keras itu disuarakan oleh Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak Iran, Hedayat Mombeyni, sehari selepas badan induk itu mengesahkan akan mengemukakan aduan rasmi kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Aduan terbabit dibuat susulan dakwaan pasukan mereka dikenakan sekatan perjalanan yang ketat, sekali gus menjejaskan persiapan dan prestasi pasukan.
“Ini adalah kejohanan antarabangsa yang besar. Pelanggaran terhadap peraturan dan persetujuan yang sudah dibuat pada pandangan saya mencemarkan bola sepak itu sendiri. Saya percaya perkara ini akan menjadi titik hitam dalam sejarah moden Piala Dunia.”
Kemarahan kem Iran memuncak apabila permohonan mereka untuk terbang ke Amerika Syarikat (AS) dua hari lebih awal sebelum aksi menentang Belgium di Los Angeles pada Isnin ini ditolak.
Iran memohon jadual itu memandangkan perlawanan bakal berlangsung pada tengah hari waktu tempatan.
Lebih mencetuskan pertikaian, lawan mereka, Belgium dilaporkan mendapat kelulusan untuk berlepas ke California pada Jumaat, iaitu dua hari sebelum perlawanan, manakala Iran dinafikan hak yang sama.
Bagaimanapun, pentadbiran AS menolak dakwaan wujudnya unsur diskriminasi politik biarpun kedua-dua negara baru sahaja menandatangani perjanjian sementara bagi menamatkan konflik diplomatik sebelum ini.
Pengarah Eksekutif Pasukan Petugas FIFA Rumah Putih, Andrew Giuliani, menegaskan pihak Iran sudah dimaklumkan lebih awal mengenai syarat kemasukan mereka ke negara berkenaan.
“Pasukan itu sememangnya dibenarkan masuk, tetapi syaratnya adalah sehari sebelum perlawanan berlangsung,” katanya ketika memberikan penjelasan kepada CBS News.
Mengikut undang-undang dan peraturan am FIFA, mana-mana pasukan diwajibkan bergerak dari kem latihan ke venue perlawanan sehari sebelum aksi bermula, namun pelepasan perjalanan dua hari lebih awal boleh diberikan atas budi bicara dan keadaan tertentu.
Mombeyni bagaimanapun tidak menerima penjelasan terbabit dan menyelar kecekapan jawatankuasa penganjur di AS yang dianggap tidak profesional.
“Peraturan perlu dipatuhi secara adil. Pada pandangan saya pihak penganjur sepatutnya memahami dan menghormati peraturan ini lebih awal.
“Individu atau pihak yang tidak mampu melaksanakan peraturan FIFA secara saksama tidak sepatutnya diberikan hak menjadi tuan rumah dan FIFA juga tidak sepatutnya memilih mereka sebagai penganjur,” tegasnya di kem latihan pasukan di Tijuana. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






