Home Hiburan X FACTOR KEMBALI BERSATU DI PENTAS SELEPAS 17 TAHUN BAWA HALUAN MASING-MASING

X FACTOR KEMBALI BERSATU DI PENTAS SELEPAS 17 TAHUN BAWA HALUAN MASING-MASING

29
0

PUTRAJAYA: Bertitik tolak daripada kemunculan di pentas Konsert Elite Live ’25 pada September tahun lalu, kumpulan lelaki popular era 1990-an, X-Factor, kembali bersatu selepas hampir 17 tahun membawa haluan masing-masing.

Selepas mendirikan rumah tangga dan membina kerjaya yang kukuh, anggota X-Factor mengakui tidak pernah terfikir untuk kembali aktif dalam industri muzik.

Bagaimanapun, dorongan serta sokongan peminat susulan konsert berkenaan menyuntik semangat kepada Jim, Danny, Zack, Shah dan Fendi untuk kembali mewarnai persada muzik tanah air.

“Sebenarnya keinginan untuk membuat kemunculan semula memang ada, cuma kami tidak tahu bagaimana penerimaan peminat.

“Tetapi selepas melihat sambutan yang sangat baik pada konsert Elite sehingga X-Factor menjadi sohor kini di TikTok, keyakinan itu mula timbul,” kata Danny ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharu mereka di sini, baru-baru ini. 

Bagaimanapun, mengumpulkan semula kelima-lima anggota bukan sesuatu yang mudah kerana mereka langsung tidak pernah berhubung dan tidak mempunyai kumpulan WhatsApp. 

Menurut Danny, individu yang paling sukar dijejaki ialah Zack apabila dia mengambil masa hampir dua minggu untuk menghubunginya meskipun masih aktif dalam bidang seni.

“Bukan mudah untuk mengumpulkan semula kami berlima. Selepas dua minggu barulah saya berjaya menghubungi semua anggota.

“Apabila saya beritahu mengenai perancangan untuk menyatukan semula kami bagi Konsert Elite, semuanya teruja. Namun, apa yang paling tidak kami sangka adalah sokongan luar biasa daripada peminat.

“Sambutan baik itulah yang menyuntik semangat untuk kami membuat kemunculan semula dan memperkenalkan lagu baharu,” katanya.

Berbeza dengan kebanyakan artis yang memilih mengadakan konsert atau persembahan khas sebagai tanda kemunculan semula, X-Factor mengambil pendekatan mempertaruhkan lagu baharu berjudul Walu Walu sebagai langkah pertama.

Menurut Jim, lagu berkenaan dipilih selepas melalui proses pemilihan dan undian dalam kalangan anggota kumpulan.

“Sebenarnya ada beberapa lagu yang kami dengar dan nilai bersama. Akhirnya, Walu Walu mendapat undian tertinggi kerana liriknya sangat dekat dengan perjalanan X-Factor sendiri.

“Lagu ini menceritakan mengenai kepulangan X-Factor. Sebab itu, pada permulaan lagu terdapat elemen radio dan petikan lagu-lagu lama kami sebagai simbol mengimbau perjalanan yang pernah dilalui,” katanya.

Walu Walu bukan sekadar single baharu, sebaliknya menjadi pengenalan semula X-Factor, khususnya kepada generasi Z.

Menggabungkan lirik dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Korea, lagu itu turut menampilkan elemen muzik yang lebih segar serta visual berwarna-warni bagi menarik perhatian pendengar muda tanpa mengabaikan peminat lama.

“Kami cuba mencari titik tengah. Kami tidak mahu terlalu bernostalgia kerana nanti kelompok pendengarnya menjadi terhad. Jadi, kami mahu generasi lama dan Gen Z sama-sama dapat menerima lagu ini.

“Walaupun kami sudah berada pada tahap ‘pak cik-pak cik’, dalam video muzik kami cuba menampilkan suasana yang lebih muda menerusi pemilihan pakaian berwarna-warni. Sebab itu juga kami menggunakan khidmat pengarah muda untuk menghasilkan video muzik berkenaan,” kata Jim pula.

Selepas Walu Walu, X-Factor turut merancang melancarkan sebuah lagi lagu berentak balada sebagai kesinambungan projek kemunculan semula mereka.

Selain itu, kumpulan yang pernah popular menerusi lagu Sehangat Api, Tak Sanggup dan 7231564 itu turut mengesahkan bakal mengadakan persembahan khas pertama di Kota Bharu, Kelantan, September depan sebagai platform menguji penerimaan pasaran sebelum meneruskan siri persembahan ke seluruh negara.

Pengurus X-Factor, Wan Syahrul Amry, berkata Kelantan dipilih sebagai sebahagian daripada kajian pasaran. Band itu mahu mahu melihat reaksi jujur peminat di luar kawasan bandar utama yang mempunyai akses hiburan lebih terhad.

“Kalau di Kuala Lumpur, pilihan hiburan terlalu banyak. Di Kelantan, kami mahu melihat maklum balas yang lebih jujur.

“Jika peminat di sana boleh menerima kepulangan X-Factor, ia bermakna kumpulan ini masih relevan. Selepas itu, barulah kami boleh merancang untuk menjelajah ke seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, Jim berkata, kepulangan X-Factor kali ini bukan sekadar untuk mengubat kerinduan peminat atau mempertaruhkan karya baharu semata-mata, sebaliknya, mereka mahu membawa mesej positif menerusi setiap aktiviti seni yang dilakukan.

Jim berkata, X-Factor mahu menggunakan platform yang ada untuk menjadi contoh yang baik kepada generasi muda, selari dengan usia serta pengalaman yang dimiliki ketika ini.

“Kemunculan semula X-Factor bukan hanya mengenai lagu. Kami juga mahu membawa imej positif dan menjadi ikon kepada golongan muda supaya mereka boleh mencontohi perkara baik yang kami sampaikan.

“Lagu-lagu yang akan kami hasilkan selepas ini juga lebih menjurus kepada mesej positif. Kami tidak mahu terlalu fokus kepada tema negatif atau kisah putus cinta semata-mata.

“Sebagai artis yang sudah lama berada dalam industri, kami berasakan perlu menjadi contoh yang baik,” katanya.

Atas sebab itu juga, X-Factor memilih untuk tampil dengan imej yang lebih matang dan sopan, namun, masih mengekalkan elemen segar serta relevan.

Langkah ini diambil bagi menarik perhatian generasi baharu tanpa mengabaikan identiti yang sudah sebati dengan kumpulan itu sejak lebih dua dekad lalu. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here