Home Buletin Semasa SINDIKET CURI TERNAKAN TUMPAS, LIMA TERMASUK WANITA DITAHAN

SINDIKET CURI TERNAKAN TUMPAS, LIMA TERMASUK WANITA DITAHAN

152
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PASIR PUTEH: Polis berjaya menumpaskan kegiatan dipercayai membabitkan sindiket mencuri haiwan ternakan apabila menahan lima individu serta menemukan 32 ekor lembu yang dipercayai dicuri dalam satu operasi khas di Bachok, awal pagi Selasa.

Operasi yang dijalankan antara jam 3 pagi hingga 4 pagi pada Rabu lalu itu membabitkan sepasukan pegawai dan anggota daripada Cawangan D4, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superitendan Saari Yaacob berkata, dalam operasi tersebut polis menahan lima suspek terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita tempatan di dua lokasi berasingan di Bachok.

“Suspek ditahan di sebuah rumah di Jalan Kandis, Kampung Telong serta sebuah lagi rumah di Kuping Cherang Sepulai, Bachok.

“Hasil siasatan awal dan dipandu arah oleh suspek yang ditahan, polis kemudian pergi ke sebuah kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Gong Nyatoh, Telong sebelum berjaya menemukan 32 ekor lembu yang diikat pada pokok-pokok kelapa sawit menggunakan tali,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati lembu-lembu berkenaan dipercayai milik penduduk kampung sekitar yang sebelum ini dilaporkan hilang.

Menurutnya, polis kini sedang menjalankan proses pengesahan pemilikan selain mengesan pemilik-pemilik haiwan ternakan tersebut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti penglibatan individu lain serta modus operandi kumpulan terbabit,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang kehilangan haiwan ternakan lembu diminta hadir ke Jabatan Veterinar Kubang Kerian bagi tujuan pengecaman.

Jelasnya mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian juga diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau IPD Pasir Puteh.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here