Home Buletin Semasa OPS NODA: TUJUH WANITA WARGA ASING DITAHAN, PUSAT URUT DISYAKI TAWAR KHIDMAT...

OPS NODA: TUJUH WANITA WARGA ASING DITAHAN, PUSAT URUT DISYAKI TAWAR KHIDMAT PELACURAN RM200

28
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUCHING: Polis menahan tujuh wanita warga asing yang disyaki terbabit dalam kegiatan persundalan menerusi serbuan Ops Noda di sebuah pusat urut di Jalan Tun Jugah, di sini, pada Jumaat.

Serbuan kira-kira jam 2.15 petang itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota daripada Cawangan D7, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, kesemua wanita berusia antara 23 hingga 38 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan.

“Hasil serbuan turut menemukan dan merampas beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan tersebut, termasuk wang tunai, kondom serta pakaian.

“Siasatan awal mendapati premis berkenaan dipercayai menawarkan aktiviti pelacuran melibatkan wanita warga asing dengan mengenakan bayaran sebanyak RM200 bagi setiap perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana menawarkan khidmat bagi tujuan persundalan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Selain itu, menurut beliau beberapa suspek turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di Malaysia.

“Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, serta boleh dikenakan sebatan,”katanya.

Beliau berkata, polis akan terus mempergiat operasi membanteras kegiatan tidak bermoral serta sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang bagi memastikan ketenteraman dan keselamatan awam sentiasa terpelihara. 

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here