Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Kontinjen menembak Pahang yang membariskan 27 atlet lelaki dan perempuan meletakkan sasaran untuk meraih sembilan pingat emas pada SUKMA Selangor 2026, Ogos depan.
Untuk rekod kontinjen pantai timur itu yang dibimbing empat jurulatih tempatan dan luar negara berjaya mengumpul 12 pingat emas, lima perak dan empat gangsa pada SUKMA Sarawak 2024 untuk muncul juara keseluruhan acara menembak.
Kelebihan yang ada pada Pahang apabila masih menyenaraikan Cheah Zen Hong penyumbang terbanyak dengan tujuh pingat emas diikuti penembak wanita Pahang, Sayyeda Khadeeja yang meraih empat emas masing-masing dalam acara pistol individu dan berpasukan.
Jurulatih menembak Pahang, Mohd Noor Azli Nasir, berkata, 27 atlet yang terpilih mewakili Pahang berdiri daripada 13 Lelaki, 14 Perempuan. Mereka bersaing dalam 18 acara yang menawarkan sebanyak 28 pingat emas.
Katanya, Pahang muncul juara keseluruhan acara menembak di Sukma Sarawak dua tahun lalu dengan meraih 12 emas, lima perak dan empat gangsa, namun dengan prestasi cemerlang itu diharapkan tidak terlalu memberi tekanan kepada atlet yang bersaing pada Sukma kali ini.
“Pasukan menembak Pahang kali ini mendapat bimbingan daripada jurulatih tempatan termasuk seorang luar negara (Rusia).
“Beberapa muka lama seperti Zen Hong masih lagi beraksi dan mungkin mampu menyumbang pingat emas.
“Semua atlet kini fokus pada latihan dalam usaha meningkatkan kekuatan fizikal dan mental untuk mencapai sasaran pingat yang ditetapkan,” katanya ditemui, selepas sesi latihan di Lapang Sasar Menembak Kompleks SUKPA Majlis Sukan Pahang (MSP), di sini.
Beliau berkata, prestasi terbaik atlet menjadi senjata utama untuk memastikan misi meraih kejayaan terbaik pada SUKMA menjadi kenyataan.
“Harapan bukan digalas dibahu satu atau dua atlet tetapi semua 27 penembak yang mengambil bahagian,”katanya.
Mohd Noor Azli berkata, hanya persembahan terbaik sahaja mampu meletakkan kontinjen menembak Pahang pada landasan sebenar seterusnya sekali lagi bergelar juara keseluruhan SUKMA Selangor 2026.
IMedikel TV






