Home Buletin Semasa PEMANDU LORI MAUT SELEPAS HILANG KAWALAN, KENDERAAN TERJUNAM DALAM GAUNG DI LOJING

PEMANDU LORI MAUT SELEPAS HILANG KAWALAN, KENDERAAN TERJUNAM DALAM GAUNG DI LOJING

47
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

GUA MUSANG: Seorang pemandu lori maut selepas kenderaan dipandunya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terjunam ke dalam gaung di Kilometer 90, Jalan Gua Musang-Lojing, pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 pagi itu, mangsa yang merupakan lelaki tempatan berusia 43 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat tersepit di dalam kenderaan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang menerima makluman berhubung kejadian itu daripada Gerakan Gua Musang pada jam 12.40 tengah hari.

“Siasatan awal mendapati mangsa sedang memandu lori dari arah Kampung Raja menghala ke Gua Musang sebelum kemalangan berlaku.

“Setibanya di lokasi kejadian, ketika melalui satu selekoh di kawasan jalan menuruni bukit, pemandu dipercayai hilang kawalan terhadap kenderaan yang dipandunya sebelum terbabas ke bahu kiri jalan dan terjatuh ke dalam gaung,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kemudian berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Gua Musang bagi tujuan bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian,”katanya.

Beliau turut meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai sebarang maklumat berkaitan tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Aida di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Gua Musang menerusi talian 09-912 1222.

“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan,”katanya. 

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here