Home Sukan NUR IZZATI TAK GENTAR CABAR PELUMBA LELAKI, BURU PODIUM 4X4 DI KUALA...

NUR IZZATI TAK GENTAR CABAR PELUMBA LELAKI, BURU PODIUM 4X4 DI KUALA NERUS 

Oleh: Wartawan IMedikel TV

KUALA NERUS: Empat tahun bergelumang dalam dunia perlumbaan jentera pacuan empat roda (4X4) menjadikan Nur Izzati Zonkifli semakin matang untuk berdepan cabaran, termasuk bersaing dengan kelompok pelumba lelaki yang lebih dominan dalam sukan berkenaan.

Pada usia 28 tahun, pelumba pasukan Laluan Rimba 4X4 dari Kedah itu kini kembali ke Kuala Nerus untuk memburu podium Terengganu 4X4 Merdeka Challenge 2026 yang berlangsung selama dua hari di Bandar Baru Kuala Nerus, di sini.

Baginya, perjalanan sejauh lebih 400 kilometer dari Kodiang, Kedah merentasi Banjaran Titiwangsa bukan sekadar perjalanan biasa, sebaliknya sebahagian daripada komitmen untuk terus bersaing dalam arena 4X4 yang sudah menjadi rutin kehidupannya.

Nur Izzati yang mula berlumba ketika berusia 25 tahun mengakui pernah hampir meninggalkan sukan itu selepas terbabit kemalangan pada penampilan sulungnya di Sik, Kedah, empat tahun lalu.

“Saya pernah berputus asa setelah seawal penampilan pertama saya dalam arena perlumbaan 4×4 pada empat tahun lalu di Sik, Kedah di mana ketika itu saya terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan kerosakkan teruk pada kereta lumba pasukan.

“Jika tidak kerana ayah saya yang ketika itu juga adalah ‘copilot’ untuk memberi semangat meneruskan perlumbaan, sudah tentu saya tidak berada di sini untuk berlumba,” katanya.

Namun, sokongan keluarga dan pasukan Laluan Rimba 4X4 membuatkan Nur Izzati terus bertahan sehingga kini, malah berpeluang menyertai perlumbaan di seluruh negara serta beberapa kejohanan di negara jiran.

“Laluan Rimba 4×4 juga banyak memberi ruang dan peluang untuk kami berlumba di seluruh negara malah beberapa kali ke negara jiran. Jujur berkata, tanpa sokongan dan dorongan dari pasukan ini mungkin kami hanya hadir sebagai penonton sahaja,” katanya.

Selepas beraksi di Jempol, Negeri Sembilan pada Julai lalu, Nur Izzati kini mahu kembali mencabar podium yang pernah diraihnya pada edisi terdahulu Terengganu 4X4 Merdeka Challenge.

Pada saingan kali ini, dia bertindak selaku pemandu utama dengan bergandingan bersama jurupandu arah Muhammad Amir Hakimi Awang dalam kategori Super Novice Litecore dan Short Wheel Base (SWS).

Terengganu 4X4 Merdeka Challenge 2026 berlangsung selama dua hari untuk melabuhkan tirai pada Sabtu ini (5 September 2026) menjadi tumpuan 56 pelumba dari seluruh negara untuk berentap memburu kejuaraan bagi tiga kategori iaitu Super Novice Litecore, Short Wheel Base (SWS) dan Long Wheel Base (LWS).

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here