Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
PEKAN: Kehidupan seorang warga emas berubah sekelip mata apabila kaki kanannya terpaksa dipotong selepas terkena sengat ikan baung ketika menjaring ikan di Kampung Langgar, di sini, akhir tahun lalu.
Sh Husain Basri Sh Ibrahim, 61, yang sebelum ini menjalani kehidupan normal sebagai pesara pemandu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kini terpaksa menyesuaikan diri dengan keadaan baharu selepas kehilangan kaki kanan pada paras atas lutut.
Menurutnya, kejadian berlaku ketika dia terpijak ikan baung yang tersangkut pada jaring ketika melakukan aktiviti menangkap ikan.
“Dunia seolah-olah bertukar gelap apabila doktor memberitahu kaki kanan saya perlu segera dipotong pada paras atas lutut bagi menyelamatkan nyawa.
“Ketika itu hanya Tuhan yang mengetahui perasaan saya. Saya perlu memilih sama ada mahu terus hidup atau kehilangan sebelah kaki.
“Saya hanya mampu berdoa dan mengadu kepada Allah sebelum membuat keputusan yang amat berat dengan bersetuju kaki dipotong,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Sh Husain Basri berkata, dia tidak pernah menyangka sengatan ikan baung akan membawa kepada keadaan sedemikian sehingga kaki kanannya terpaksa dipotong kira-kira seminggu selepas kejadian.
Katanya, selepas terkena sengatan berkenaan, dia mengalami demam teruk sebelum mendapatkan rawatan di klinik kerajaan.
“Doktor kemudian merujuk saya ke Hospital Pekan untuk rawatan lanjut kerana kaki semakin sakit dan bertukar hitam, mungkin turut dipengaruhi penyakit diabetes yang saya hidapi.
“Tidak pernah terlintas di fikiran saya, daripada seorang yang sebelum ini normal, akhirnya saya terpaksa bergelar Orang Kurang Upaya (OKU),” katanya.
Menurutnya, hampir setahun selepas kehilangan kaki kanan, dia masih belum dapat menyesuaikan diri sepenuhnya untuk berjalan menggunakan tongkat.
Malah, katanya, pergerakannya kini terbatas dan dia beberapa kali terjatuh ketika cuba bergerak menggunakan tongkat.
“Saya perlu reda dan menerima hakikat bahawa selepas sekian lama hidup sebagai insan normal, kini saya kehilangan kaki kanan yang banyak membataskan pergerakan.
“Untuk bergerak, saya kini terpaksa menggunakan kerusi roda dan tongkat,” katanya.
Bapa kepada tiga anak itu berkata, dia juga perlu mendapatkan rawatan susulan setiap bulan di Hospital Pekan termasuk menjalani fisioterapi bagi menguatkan kaki kiri dan tangan.
Katanya, meskipun kehidupannya berubah selepas kejadian itu, dia tetap berusaha menerima ketentuan berkenaan dan meneruskan kehidupan dengan sokongan keluarga.
IMedikel TV






