Buenos Aires: Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo berpotensi mencipta sejarah apabila kedua-dua bintang bola sepak itu mungkin bergandingan dalam satu pasukan buat kali pertama dalam karier mereka.
Memetik laporan Agensi melalui Harian Metro, Kedua-dua pemain menerima jemputan untuk menyertai perlawanan penghormatan buat bekas rakan sepasukan mereka, Carlos Tevez, yang dijadualkan berlangsung di Stadium La Bombonera pada Disember ini.
Menurut laporan SPORTbible yang memetik wartawan TyC Sports, Marcelo Palacios, Tevez sudah menghubungi Juan Roman Riquelme yang kini menjadi presiden Boca Juniors bagi mendapatkan persetujuan mengadakan perlawanan berkenaan.
Riquelme dilaporkan sudah memberikan lampu hijau dan pihak penganjur kini sedang mencari tarikh sesuai pada Disember yang tidak bertembung dengan jadual Boca Juniors.
Tevez, 41, yang pernah beraksi bersama Messi bersama Argentina selain menjadi rakan sepasukan Ronaldo di Manchester United, dikatakan mahu menghimpunkan kira kira 60 bintang bola sepak dalam perlawanan istimewa itu.
Lebih menarik, Tevez sendiri memberi bayangan bahawa dia mahu memastikan Messi dan Ronaldo berada dalam pasukan sama.
“Kita akan satukan mereka,” kata Tevez ketika ditanya mengenai kemungkinan kedua dua pemain berkenaan beraksi dalam pasukan sama.
Bekas penyerang Manchester United, Manchester City dan Juventus itu turut mendedahkan dia masih berhubung dengan Messi dan Ronaldo menerusi WhatsApp, malah berseloroh sanggup pergi sendiri untuk mendapatkan persetujuan Ronaldo.
“Saya akan pergi ambil dia sendiri,” katanya.
Selain Messi dan Ronaldo, Tevez turut menyenaraikan beberapa nama besar yang diharapkan dapat memeriahkan perlawanan itu termasuk Edwin van der Sar, Gianluigi Buffon, Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, Giorgio Chiellini, Leonardo Bonucci dan Patrice Evra.
Di bahagian tengah pula, Andrea Pirlo, Paul Scholes, Riquelme dan Wayne Rooney antara nama yang turut disebut.
Tevez mahu membentuk satu pasukan yang terdiri daripada rakan rakan rapatnya sepanjang karier serta kenalan dari kawasan kejiranannya, manakala pasukan lawan akan dibarisi pemain yang pernah beraksi bersamanya sepanjang karier lebih dua dekad.
Jika menjadi kenyataan, perlawanan itu bakal memberi peluang kepada peminat menyaksikan Messi dan Ronaldo berkongsi padang sebagai rakan sepasukan buat kali pertama, selepas bertahun tahun menjadi pencetus persaingan terbesar bola sepak moden.– Agensi, HMetro–
IMedikel TV






