MOENCHENGLADBACH, Jerman: Pengendali Jerman, Julian Nagelsmann enggan berbicara soal kesilapan penjaga golnya, Manuel Neuer ketika kemenangan 2-1 ke atas Greece dalam aksi persahabatan di Moenchengladbach.
Kecuaian Neuer membolehkan Greece membuka jaringan, apabila percubaan Christos Tzolis gagal ditangkap kemas penjaga gol itu dan muntah di hadapan Gergios Masouras, yang menolak bola ke gawang Jerman.
Penyerang Arsenal, Kai Havertz menyamakan kedudukan di awal babak kedua dan pemain Brighton, Pascal Gross meledak gol kemenangan pada minit terakhir untuk kemenangan buat tuan rumah Euro 2024 itu.
Selepas perlawanan, tumpuan adalah kepada pemilihan penjaga gol utama Jerman, antara Neuer dan Marc-Andre Ter Stegen dari Barcelona.
Nagelsmann sebelum ini menegaskan Neuer bakal menjadi penjaga gol utamanya di kejohanan itu nanti, dengan Jerman akan bertemu Scotland di Munich pada aksi pembukaan.
Penjaga gol 38 tahun itu turut melakukan kesilapan ketika seri tanpa jaringan menentang Ukraine, dan sekali lagi dipersalahkan ketika Bayern Munich tewas kepada Real Madrid di separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah bulan lalu.
“Saya tidak akan benarkan perbincangan mengenai Manuel Neuer, walaupun semua orang akan cuba melakukannya.
“Apabila dia melakukan kesilapan, mudah untuk menuding jari kepadanya. Tetapi ia adalah hasil kesilapan bersama.
“Dia turut menyelamatkan keadaan dengan begitu baik sebanyak tiga kali sepanjang permainan – mungkin tidak dapat dilakukan oleh penjaga gol lain. Semuanya baik-baik belaka,” kata Nagelsmann.
Ter Stegen yang sedekad bersama Barcelona, enam tahun lebih muda daripada Neuer tetapi hanya bermain apabila penjaga gol utama itu cedera.
Nagelsmann hanya menyenaraikan Neuer, Ter Stegen dan Oliver Baumann untuk posisi penjaga gol dalam skuad Euro 2024. – AFP,BH Online –
Imedikel TV






