Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PASIR PUTEH: Sebuah bas ekspres yang dalam perjalanan dari Negeri Sembilan ke Kota Bharu terbabas sebelum merempuh sebuah surau di perkarangan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jawa 2, di Kilometer 1, Jalan Selising-Kok Lanas, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.50 pagi, bas berkenaan dipandu seorang lelaki berusia 60 tahun dan membawa tiga penumpang.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Saari Yaacob berkata, semua mangsa yang terbabit dalam kejadian itu dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Siasatan awal mendapati bas berkenaan dipercayai hilang kawalan ketika tiba di lokasi kejadian.
“Pemandu cuba menekan brek, namun bas itu terus menggelongsor ke hadapan sebelum melanggar surau di perkarangan SK Bukit Jawa 2,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Kaedah 10 LN 166/59 dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh, Sarjan Muhammad Syahril Ishak, menerusi talian 011-62963162 bagi membantu siasatan.
IMedikel TV






