Home Buletin Semasa DOF PANTAU TERUMBU KARANG, JAGA PERAIRAN LAUT NEGARA

DOF PANTAU TERUMBU KARANG, JAGA PERAIRAN LAUT NEGARA

147
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) komited dalam memantau terumbu karang dan kualiti air Taman Laut serta restorasi karang bagi memastikan perairan laut negara dan hidupan marin sentiasa dipelihara serta dilindungi demi kelestarian sumber perikanan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Adnan Hussain berkata, pemantauan itu dijalankan secara berkala menerusi sambutan Hari Lautan Sedunia 2024 bertepatan dengan tema “Tindakan Pemangkin Untuk Lautan dan Iklim Kita”.

“Pemantauan ini penting untuk mengenal pasti ancaman dan tekanan yang dihadapi oleh terumbu karang seperti perubahan iklim, penangkapan ikan yang tidak mampan serta pencemaran berasaskan daratan.

“Kita menjalankan pemantauan ini bersama badan bukan kerajaan, penyelidik tempatan serta sukarelawan untuk menilai kesihatan dan kepelbagaian spesies terumbu karang,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan media, status peratusan Litupan Karang Hidup (LKH/ Live Coral Cover, LCC) (Hard Coral+Soft Coral) di perairan Taman Laut dan Kawasan Larangan Perikanan Malaysia (FPA) pada 2023 mencatat peningkatan iaitu 54.23% berbanding dua tahun lepas iaitu 50.96%.

Adnan berkata terdapat beberapa transek kekal tertentu mempamerkan penurunan dalam LKH disebabkan ancaman tapak sulaiman mahkota berduri atau Crown of Thorns (COTs) dan pelbagai pengaruh antropogenik yang memberi kesan kepada kesihatan terumbu.

“DOF menempatkan lima stesen tetap pemantauan kualiti air di Taman Laut yang mencerap data pada selang masa lima minit.

“Data pemantauan ini akan membantu DOF dalam menilai langkah atau tindakan proaktif terhadap kesan perubahan iklim ke atas ekosistem lautan negara,” katanya.

Katanya, Taman Laut Pulau Tioman, Sibu-Tinggi, Redang dan Perhentian dikenal pasti sebagai kawasan terumbu karang yang berdaya tahan ‘resilience’ daripada sebarang ancaman perubahan iklim.

Malah kawasan tersebut akan diberikan perlindungan sepenuhnya agar tidak mengalami kelunturan karang di masa hadapan dan pengezonan khas untuk memelihara habitat unik.

Mengulas lanjut, orang ramai digesa agar mengambil bahagian secara aktif dalam usaha pemuliharaan lautan dengan mengurangkan sisa plastik, menyokong amalan penangkapan ikan yang mampan dan menyokong pemuliharaan marin.

IMEDIKEL TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here