Home Buletin Semasa TIKAM ISTERI ENAM KALI, PENGANGGUR MENGAKU TIDAK BERSALAH

TIKAM ISTERI ENAM KALI, PENGANGGUR MENGAKU TIDAK BERSALAH

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan  menikam isterinya sebanyak enam kali sehingga parah dan mencederakan ibu mentuanya di Padang Lepai, Ketereh, di sini, pada 5 Oktober lalu.

Tertuduh, Shahrul Shahrizal Che Shaari, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Zulkifli Ablah dan Nik Habri Muhamad.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menikam isterinya, Zulaiha Mat Zain, 44, menggunakan pisau sehingga mengalami kecederaan parah.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kadok, Padang Lepai, Ketereh, kira-kira jam 8.30 malam, 5 Oktober lalu.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa mencederakan ibu mentuanya, Paridah Ismail, 78, menggunakan pisau di lokasi dan pada masa yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada dua hukuman itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli dan Siti Arina Razali, manakala tertuduh diwakili peguam, Zainal Abidin Mustaffa.

Pada masa sama, keluarga mangsa turut melantik dua peguam pemerhati, Nik Saiful Adli Burhan dan Che Muhammad Redzuan Jihad.

Terdahulu, Kamarul Hasyime dan Siti Arina tidak menawarkan sebarang jaminan.

Manakala, Zainal Abidin juga memohon jaminan tidak diberikan kepada tertuduh sebaliknya meminta anak guamnya dirujuk ke hospital psikiatri bagi menjalani rawatan mental.

“Saya memohon jaminan tidak diberikan memandangkan keluarga tertuduh dikhuatiri tidak mampu mengawal tertuduh yang disyaki mempunyai masalah mental.

“Malah, dua minggu sebelum kejadian (tikam isteri), tertuduh ada berjumpa saya dan mengatakan mahu mencederakan diri sendiri. Justeru saya mahu tertuduh dirujuk ke hospital psikiatri memandangkan dua adik beradik tertuduh juga kini turut mempunyai masalah mental dan sedang mendapatkan rawatan,” katanya.

Mahkamah kemudian mengarahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, selama sebulan bagi menjalani pemeriksaan psikiatri.

Mahkamah turut menetapkan 18 November ini untuk sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.

Keluarga kedua-dua pihak, termasuk keluarga mangsa dan tertuduh, turut hadir di mahkamah hari ini.

Media sebelum ini melaporkan seorang jururawat berusia 44 tahun parah selepas ditikam suaminya sebanyak enam kali di rumah mereka di Kampung Padang Lepai, berhampiran Kadok, pada 5 Oktober lalu.

Mangsa mengalami kecederaan parah pada badan dan leher serta menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Susulan kejadian itu, polis menahan suami mangsa selepas lelaki berkenaan menyerah diri.

Dalam perkembangan berkaitan, Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam mengesahkan perceraian secara taklik membabitkan pasangan itu selepas suami mangsa melanggar lafaz taklik dengan menikam isterinya dalam kejadian berkenaan.

Hakim Mohd Anwan Ab Muttalib membuat keputusan itu selepas mendengar pengakuan lelaki berusia 47 tahun berkenaan dalam prosiding yang berlangsung kira-kira sejam.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here